Harga bilik meningkat jika penginapan hotel 23 jam - Christina

Iklan
Harga penginapan dijangka meningkat jika kerajaan menetapkan dasar penginapan hotel sekurang-kurangnya 23 jam sehari. Gambar kecil: Christina

SHAH ALAM - Harga penginapan dijangka meningkat jika kerajaan menetapkan dasar penginapan hotel sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Presiden Persatuan Hotel Malaysia, Datin Christina Toh berkata, pelaksanaan dasar itu sudah pasti akan membawa kepada kos operasi yang lebih tinggi dan berkemungkinan diterjemah kepada kenaikan harga bilik.

Iklan
Iklan

"Hotel telah mengalami kenaikan kos dengan gaji minimum baharu ditetapkan berkuat kuasa pada Februari 2025.

"Tekanan kewangan tambahan ini akan menambah lagi beban kepada industri yang mana pada ketika ini pengusaha hotel sememangnya berdepan dengan pergelutan,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Iklan

Sebelum ini, Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing menggesa pengusaha hotel untuk menyelaraskan semula masa daftar masuk dan keluar bagi memastikan pengguna menerima waktu penginapan sekurang-kurangnya 23 jam sehari.

Menurutnya, penginapan 23 jam sehari merupakan perkara biasa di luar negara dan hal itu tidak menjejaskan soal kebersihan atau kualiti penginapan, malah pengguna juga merasakan wang yang dibelanjakan berbaloi dengan perkhidmatan diterima.

Iklan

Mengulas mengenai kenyataan itu, Christina menegaskan bahawa cadangan itu tidak praktikal dan akan mewujudkan pelbagai cabaran untuk pengusaha hotel dan tetamu.

Menurutnya, pertambahan tempoh penginapan itu akan mendorong kepada kesukaran untuk mengekalkan kebersihan, keselamatan dan kualiti bilik memandangkan sektor tersebut bergelut dengan kekurangan tenaga kerja khususnya di bahagian pengemasan.

"Kebiasaannya, masa daftar masuk yang standard di seluruh dunia adalah antara jam 2 hingga 3 petang dengan daftar keluar ditetapkan antara 11 pagi dan 12 tengah hari.

"Waktu ini penting untuk memberi masa yang mencukupi kepada pihak hotel mengekalkan standard tersebut.

"Mengharapkan pihak hotel membersihkan bilik dalam tempoh satu hingga dua jam, terutamanya semasa musim puncak atau dengan kadar penghunian yang tinggi akan menjejaskan tahap (kebersihan, keselamatan dan kualiti) itu,” ujarnya.

Tambah beliau, walaupun Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menawarkan bantuan untuk memudahkan perbincangan dengan kementerian lain, namun MAH menekankan penggubalan standard penginapan 23 jam di seluruh negara memerlukan lebih daripada jaminan.

Jelas Christina, adalah lebih jika kekurangan tenaga kerja diselesaikan sepenuhnya sebelum melaksanakan sebarang dasar baharu yang boleh memburukkan operasi.

"Sebelum mengenakan piawaian penginapan 23 jam, kami menggesa kerajaan untuk terlebih dahulu menangani kekurangan tenaga kerja yang terus membebankan industri.

"Selain itu, kami menyeru tindakan terhadap isu kritikal lain seperti pengawalseliaan sewa jangka pendek dan kos utiliti yang telah dibangkitkan secara konsisten oleh industri dalam pelbagai mesyuarat,” tegasnya.