SHAH ALAM - Jumlah aset Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang melebihi 30 tahun secara keseluruhannya adalah 171 merangkumi ketiga-tiga cabang perkhidmatan, kata Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.
Menurutnya, jumlah itu membabitkan 108 unit bagi tentera darat, 29 unit Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan 34 unit Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).
"Secara asasnya, had usia guna aset-aset ketenteraan adalah berbeza mengikut fungsi masing-masing," katanya dalam jawapan bertulis menjawab soalan Ahli Parlimen Kepong, Lim Lip Eng di Dewan Rakyat semalam.
Dalam pada itu, Mohamed Khaled turut menjelaskan, laporan lengkap mengenai punca kemalangan dan jumlah kerugian yang dihadapi selepas Kapal Diraja (KD) Pendekar milik TLDM tenggelam pada 25 Ogos lalu hanya boleh ditentukan setelah siasatan rapi selesai.
Beliau berkata, kementerian menerusi TLDM telah menubuhkan Lembaga Siasatan Khas bagi menyiasat kemalangan yang menimpa kapal tersebut.
Bagaimanapun menurutnya, perkara itu masih perlu diperhalusi dengan lebih lanjut melalui penyiasatan fizikal ke atas kapal setelah diapungkan.
"Dalam hal ini, TLDM sedang melaksanakan kerja salvaj ke atas kapal itu selain mengenal pasti dan memastikan kesemua peralatan di dalam kapal berada dalam keadaan baik serta tidak hilang.
"Berdasarkan laporan terkini, kapal tersebut telah berjaya diapungkan dan kini berada di Yard Tanjung Belungkor,"ujarnya