Sungai Balah sesuai ternak ikan kelah

Iklan
Suhu air Sungai Balah di Pangkalan Pati, Kampung Kuala Balah dikatakan sesuai untuk penternakan kelah. Gambar kecil: Abdul Wahid

JELI - Penduduk di Pangkalan Pati, Kampung Kuala Balah di sini berharap ada pihak yang mahu membangunkan kawasan sungai berkenaan sebagai lokasi pelancongan.

Mereka mendakwa, lebih menarik Sungai Balah itu menjadi lokasi ikan kelah bertelur pada musimnya kerana sesuai dengan suhu air dan beberapa ciri lain.

Iklan
Iklan

Penasihat 2, Persatuan Komuniti Ekopelancongan Kuala Balah (KEKB), Abdul Wahid Mat Piah berkata, berdasarkan pengalamannya dalam bidang pelancongan, bentuk muka bumi dan batuan di sungai itu sesuai untuk penternakan ikan kelah.

"Ada yang mendakwa air sungai ini merupakan aliran dari sungai di hujung hulu sempadan Perak dan ia kekal bersih dan segar," katanya.

Iklan

Beliau memberitahu, kawasan sungai yang hanya dua kilometer dari laluan utama persekitarannya tidak tercemar dan sangat indah dilingkungi tumbuhan dan aliran air jernih.

Suasana damai di Sungai Balah sesuai untuk berehat dan berkhemah.

Abdul Wahid yang juga aktivis alam sekitar berharap Pangkalan Pati dan sekitar sungai itu boleh digazetkan sebagai lokasi pelancongan dengan pelbagai kemudahan bagi memudahkan orang ramai berkhemah dan melakukan aktiviti sesuai.

Iklan

Jelas beliau, sepanjang laluan ke Pangkalan Pati terdapat banyak kebun buah-buahan yang mungkin boleh membantu menambah pendapatan penduduk.

"Mereka mungkin boleh mengaplikasikan konsep 'bayar dan makan semahunya' kepada pelancong yang datang sambil menikmati keindahan alam di situ," katanya.

Sementara itu, Penghulu Mukim Kuala Balah, Mohd Nor Salleh berkata, sungai itu pernah menjadi dataran askar Jepun bersembunyi pada tahun 1946 hingga 1948.

"Penduduk terdahulu mendakwa kawasan ini merupakan lokasi askar Jepun berehat ketika peperangan di Tanah Melayu sebelum penduduk sekitar menjadikannya sebagai laluan utama untuk berhubung," katanya.

Menurut beliau, fungsi sungai itu juga penting sebagai tempat rehat pemilik kebun dari beberapa kampung termasuk Kampung Gading, Kampung Mulong dan Kampung Padah.

"Kami mengalu-alukan jika ada pihak mahu memperkenalkan kawasan kepada pengunjung namun paling utama ialah perlu mengutamakan kebersihan," katanya.