‘Kehadiran kapal milik China cabar hak kedaulatan Malaysia’ - Wan Ahmad Fayhsal

Iklan
Wan Ahmad Fayhsal

SHAH ALAM - Pembangkang menyelar kenyataan Timbalan Menteri Pertahanan, Adly Zahari yang menyatakan kawasan Laut China Selatan berada dalam keadaan ‘selamat, terkawal dan terbuka’.

Ia susulan situasi insiden pencerobohan kapal frigat Tentera Laut China dan pasukan pengawal pantai, Chinese Coast Guard (CCG) di kawasan terbabit.

Iklan
Iklan

Ahli Parlimen Machang, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal berkata, kenyataan Adly itu bersifat tidak sensitif kepada anggota tentera yang berusaha menjaga perbatasan sempadan negara.

"Pada minggu ini juga iaitu kurang dari dua minggu selepas sambutan besar-besaran yang dibuat oleh kerajaan Pulau Pinang ke atas kelasi kapal, Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) terpaksa mengerahkan Kapal KD Selangor untuk melaksanakan misi membayangi kehadiran kapal pengawal pantai China di Zon Maritim Malaysia (ZMM) di Beting Patinggi Ali (BPA).

Iklan

"Saya mencadangkan agar anda turun meninjau di lapangan bagi melihat sendiri kehadiran CCG atau Tentera Laut Pembebasan Rakyat China (PLAN) dalam perairan Malaysia.

"Ini supaya anda insaf dan membuka mata bahawa ancaman yang dihadapi dari Republik Rakyat China (RRC) bukan bersifat polemik tapi realiti yang sebenar,” katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Iklan

Sebelum ini, Kementerian Pertahanan memberi jaminan bahawa situasi di Laut China Selatan kini adalah selamat, terkawal, kekal bebas serta terbuka kepada komuniti maritim.

Perkara tersebut dimaklumkan Adly Zahari di Dewan Rakyat pada Isnin bagi menjawab soalan Datuk Seri Jalaluddin Alias (BN-Jelebu) mengenai status keselamatan perairan Malaysia susulan pencerobohan kapal tentera China dan Pengawal Pantai China di Zon Ekonomi Eksklusif (EEZ) di Wilayah Maritim Sarawak.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata, kenyataan itu juga secara tidak langsung telah merendahkan darjah ancaman keselamatan ZMM terutama di kawasan Luconia Shoals atau BPA.

Mengulas lanjut, beliau turut mempertikaikan perkara diberitahu oleh Adly Zahari yang memaklumkan bahawa kehadiran kapal milik RRC di kawasan berkenaan hanya terhad kepada jenis kapal CCG dan bukan terdiri daripada kapal PLAN.

"Ini adalah satu kenyataan yang salah sama sekali dan amat berbahaya, mengambil kira kehadiran kapal-kapal dari RRC di ZMM bukan hanya terhad kepada pasukan pengawal pantai malah turut terdiri daripada kapal PLAN serta China Maritime Safety Agency (CMSA).

"Termasuklah pasukan para militer terdiri daripada kalangan nelayan RRC yang menangkap ikan secara haram di ZMM.

"Kehadiran kapal China ini bersifat agresif dan dapat dibuktikan pada 2020 di mana kapal penyelidik dari PETRONAS (West Capella) di ZMM telah diganggu secara agresif selama berhari-hari,” jelasnya.

Tambah beliau, Adly Zahari yang juga Ahli Parlimen Alor Gajah perlu sentiasa bersikap peka dan berhati-hati sebelum membuat sebarang kenyataan serta mengambil maklum fakta ancaman dihadapi negara.

Ujarnya, strategi yang digunapakai oleh RRC sejak 2019 dengan mengatur gerak kapal China untuk hadir di kawasan BPA itu bertujuan untuk membuat tuntutan agresif.

"Dengan ‘berhenti dan menurunkan sauh’ ini merupakan sebagai salah satu tindakan ‘cementing’ di kawasan yang kononnya wilayah laut mereka.

"Tidakkah anda sedar bahawa fungsi utama kapal pasukan pengawal pantai milik China ini adalah untuk menguatkuasakan undang-undang maritim negara mereka sebagai salah satu justifikasi bahawa ‘exclusivitae’ negara berkenaan terpakai dan dilaksanakan dalam ZMM?

"Tindakan kehadiran kapal mereka adalah salah sama sekali dan mencabar integriti serta hak kedaulatan Malaysia! Juga merupakan satu kesalahan yang cukup besar bawah Undang-Undang Laut Antarabangsa serta United Nations Convention on the Law of the Sea (UNCLOS 1982),” katanya.