Belanjawan 2025: Projek RTB pergiat atasi banjir untuk sejahtera rakyat

Iklan
Berikutan perubahan iklim semakin ketara, yang mengakibatkan cuaca ekstrem dan kejadian banjir di negara ini. Gambar hiasan

KUALA LUMPUR - Berikutan perubahan iklim semakin ketara, yang mengakibatkan cuaca ekstrem dan kejadian banjir di negara ini, Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) komited untuk mempergiat pelaksanaan projek Rancangan Tebatan Banjir sebagaimana diumumkan dalam Ucapan Belanjawan 2025.

Iklan
Iklan

Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Datuk Seri Fadillah Yusof, dalam satu kenyataan media berkata, 12 projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) dengan kos RM3 bilion telah dikeluarkan Surat Setuju Terima (SST) tahun ini dan berjalan mengikut jadual.

Projek tersebut melibatkan RTB Sungai Damansara di Selangor, RTB Sungai Likas di Kota Kinabalu, Sabah, dan RTB Sungai Triang di Bera, Pahang.

Iklan

Selain itu, RTB Sungai Tepoh dan Banggol Air Lilih, Kuala Nerus, Terengganu dan Pembangunan Lembangan Sungai Bersepadu Sungai Kelantan Fasa 2, Kota Bharu.

"Setakat ini, kerajaan telah berjaya menyiapkan lapan projek RTB bernilai RM540 juta,” katanya.

Iklan

"Dalam menghadapi musibah banjir kilat yang melanda ibu kota dan beberapa bandar lain, sebagai langkah segera, penyaluran RM150 juta kepada pihak berkuasa tempatan dan Jabatan Pengairan dan Saliran untuk mulakan kerja pembersihan longkang dan pengorekan sungai,” tambah beliau.

Pada tahun ini, PETRA melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), telah merancang penyelesaian jangka pendek dan panjang untuk kawasan pasti banjir atau"hotspot banjir” di seluruh negara, dengan 4,619 lokasi telah dikenal pasti oleh JPS.

Kerajaan memperuntukkan RM945 juta bagi melaksanakan 119 projek tebatan banjir untuk 2024, dalam usaha mengurangkan impak banjir serta kerosakan harta benda awam, dan daripada jumlah itu, 93 projek sedang dilaksanakan dan 26 projek lagi dalam peringkat prapelaksanaan.

PETRA juga telah menyediakan pelan induk tebatan banjir berdasarkan lembangan sungai utama di seluruh negara sebagai penyelesaian jangka panjang, yang bertujuan untuk menyelesaikan masalah banjir secara menyeluruh.

Sehingga tahun ini, sebanyak 49 pelan induk tebatan banjir telah disiapkan, manakala tujuh pelan sedang dibangunkan dan tiga lagi dirancang untuk mula dibangunkan seawal Disember 2024.

Bagi tempoh 2020 hingga 2023, sebanyak 26 projek tebatan banjir telah disiapkan, merangkumi 17 projek struktur dan sembilan projek bukan struktur.

Belanjawan 2025 antara lain memfokuskan kepada pembangunan sektor tenaga dan air, dengan jumlah peruntukan keseluruhan sebanyak RM4.95 bilion, merangkumi perbelanjaan mengurus sebanyak RM362.67 juta dan perbelanjaan pembangunan berjumlah RM4.59 bilion.

Sementara itu, Fadillah berkata, antara pengumuman lain yang berkaitan dengan PETRA dalam Belanjawan 2025 adalah kemudahan lebih RM300 juta Dana Mudah Cara Peralihan Tenaga bagi menggalakkan pelaksanaan inisiatif dan projek berkaitan peralihan tenaga.

Program Net Energy Metering (NEM) turut dilanjutkan sehingga 30 Jun 2025 bagi membolehkan lebih banyak bumbung premis dimanfaatkan untuk pemasangan solar photovoltaic (PV). Selain itu Pelaksanaan Pembiayaan Teknologi Hijau (GTFS) juga akan diteuskan dengan pembiayaan sebanyak RM1 bilion sehingga 2026.

"Beberapa projek National Energy Transition Roadmap (NETR) juga telah memasuki fasa pelaksanaan, termasuk Ladang Solar Terapung Hidro Hibrid Kenyir dan hab hidrogen hijau Terengganu dengan kapasiti 1,000 megawatt, serta Program Large Scale Solar (LSS),” katanya.

Fadillah menambah bahawa peruntukan sebanyak RM70 juta juga disediakan untuk menggalakkan pembelian kelengkapan elektrik cekap tenaga dalam bentuk e-rebat bagi pengguna domestik dan sektor industri. Selain itu, pelaksanaan kontrak prestasi tenaga untuk semua agensi kerajaan akan dilaksanakan sebagai antara inisiatif kecekapan tenaga di sektor awam (Government Lead by Example).

"Menerusi pengumuman Belanjawan 2025, fokus utama kerajaan adalah menjana perubahan melalui tanggungjawab fiskal dan tadbir urus, menghidupkan ekonomi dengan meningkatkan produktiviti dan pendapatan negara, serta mensejahterakan rakyat dengan mempertingkatkan taraf hidup dan memperkukuh keselamatan sosial,” katanya.

Dalam pada itu, Fadillah turut menyatakan bahawa Belanjawan 2025 mencerminkan tekad Kerajaan Persekutuan dalam memperkasakan pelaksanaan agenda dan dasar peralihan tenaga serta transformasi air demi manfaat rakyat secara holistik dan bersepadu.

Fadillah menegaskan bahawa Belanjawan 2025 yang dibentangkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berpaksikan ‘Rakyat First’ sekali gus membuktikan kesungguhan kerajaan dalam menjamin kesejahteraan rakyat, mengangkat martabat rakyat dan menjunjung hak rakyat. - Bernama