JERANTUT - Pelatih kecergasan, K Jey Prabakaran Thevar, 27, atau lebih dikenali Dr Kjey memperbaharui rekodnya dalam Influencer Book of World Records (IBOWR) dan Malaysia Book of Records (MBOR) apabila berjaya melakukan senaman kardio dan angkat berat selama 15 jam tanpa henti pada 14 Oktober lalu.
Sebelum ini, pada 23 Julai tahun lepas, anak jati Pahang kelahiran Kuala Lipis itu mencatatkan tempoh selama 12 jam tanpa henti.
Dia turut melakar rekod dalam Asia Book of Record apabila melakukan senaman sama selama 13 jam tanpa henti pada Jun lalu.
Menurut Kjey, pencapaian itu hasil kerja keras dan sokongan padu pelbagai pihak khususnya keluarga dan rakan-rakan yang banyak membantu selama ini.
"Persiapan telah dibuat sejak awal tahun ini dan menjaga pemakanan dengan memastikan makan lapan kali sehari tapi dalam jumlah berpatutan supaya ada tenaga melakukan senaman ini.
"Saya berusaha membaiki pencapaian tahun lalu iaitu saya diiktiraf manusia pertama membuat senaman kardio dan angkat berat tanpa henti selama 12 jam," katanya.
Beliau menerima sijil pengiktirafan daripada wakiI IBOWR, P Tamilanban dan wakil MBOR, Mohamad Hazrul Hafizi Ahmad Fauzi di Jerantut Hill Resort di sini pada Ahad.
Ditanya perancangannya selepas ini, anak bongsu daripada empat beradik itu nekad mencipta tiga rekod baharu dunia tahun hadapan dengan menggunakan lebih 20 peralatan senaman seperti treadmill, dumbel, barbell dan lain-lain.
Sementara itu, Tamilaban menyifatkan pencapaian Kjey sesuatu yang perlu dibanggakan dan perlu menjadi contoh kepada rakyat di negara ini untuk melakar pencapaian luar biasa.
Jelasnya, segala aktiviti dan pencapaian Kjey sentiasa dipantau secara dekat dan dirakam dalam bentuk video sebelum dihantar ke ibu pejabat sama ada di India, United Kingdom atau Jerman untuk disahkan.
ARTIKEL BERKAITAN: Kjey lakar rekod Asia senaman tanpa henti