Belanjawan 2025: JBPM terima RM1.092 bilion laksana 70 projek

Iklan
Kor Ming (tiga dari kiri) pada sidang media selepas merasmikan IFCEM 2024 di KLCC pada Selasa.

KUALA LUMPUR - Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) menerima peruntukan RM1.092 bilion bagi melaksanakan 70 projek menerusi Belanjawan 2025.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming berkata, ia meliputi 22 projek baharu berjumlah RM391 juta dan 48 projek sambungan sebanyak RM701 juta.

Iklan
Iklan

Menurutnya, daripada jumlah itu, RM66.8 juta diperuntukkan bagi pembinaan enam Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) baharu.

"Ia terdiri BBP Desa Petaling, Kuala Lumpur; BBP Bandar Enstek, Negeri Sembilan; BBP dan Kuarters Engkelili, Sarawak; BBP Dalat, Sarawak; BBP Sepanggar, Sabah serta BBP dan Kuarters Kota Kemuning, Selangor.

Iklan

"Pada masa sama, kerajaan meluluskan sejumlah 250 unit kediaman kuarters berjumlah RM174.1 juta membabitkan 130 unit di BBP Kota Kemuning, Selangor dan 48 unit di Paya Terubong, Pulau Pinang serta 72 unit kuarters Labuan," katanya pada Majlis Perasmian Persidangan dan Pameran Kebombaan Antarabangsa Malaysia (IFCEM) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) pada Selasa.

Turut hadir, Ketua Pengarah JBPM, Datuk Nor Hisham Mohammed.

Iklan

Kor Ming berkata, isu kritikal bagi penggantian kenderaan lama turut diberi perhatian menerusi Belanjawan 2025 apabila diluluskan perolehan 231 kenderaan baharu dengan peruntukan berjumlah RM40 juta.

Selain itu katanya, terdapat juga peruntukan khusus diberikan bagi penyelenggaraan kenderaan melibatkan peruntukan berjumlah RM33.69 juta serta naik taraf balai bomba berusia lebih 50 tahun berjumlah RM31.7 juta.

"Saya percaya ini merupakan peruntukan paling besar diterima dalam sejarah belanjawan, menunjukkan komitmen KPKT dan Kerajaan Madani ke arah JBPM menuju pasukan penyelamat bertaraf dunia.

"Saya menaruh harapan tinggi kepada seluruh 15,000 anggota bomba supaya menjadi teladan dan contoh yang baik supaya kekal menjadi pasukan terbaik bukan hanya dalam negara tetapi rantau Asia dan dunia," katanya.