Polis Terengganu atur gerak 1,236 anggota, aset hadapi banjir

Iklan
Mohd Khairi (dua dari kiri) semasa Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan 2024.

KUALA TERENGGANU - Polis Terengganu bersiap siaga termasuk aspek aset dan keanggotaan bagi menghadapi musim banjir ketika Monsun Timur Laut (MTL) melanda negeri ini.

Ketua Polis Terengganu, Datuk Mohd Khairi Khairudin berkata, seramai 1,236 pegawai dan anggota polis akan ditugaskan di seluruh negeri sepanjang musim banjir selain aset melibatkan 37 bot, 42 lori dan 106 kenderaan pacuan empat roda turut digerakkan ke kawasan terjejas banjir.

Iklan
Iklan

"Kita sudah bersiap siaga dari segi aset-aset dan kekuatan anggota penyelamat yang boleh diatur gerak khusus bagi menghadapi bencana banjir pada bila-bila masa.

"Semua ketua polis daerah telah diarah untuk melakukan persediaan awal bagi mengetuai operasi bencana, menyelaras dan menentukan atur gerak serta tindak balas dari pelbagai agensi seperti agensi penyelamat, agensi teknikal, agensi sokongan dan agensi bantuan selain pemulihan bagi mengendalikan operasi bencana di lapangan.

Iklan

"Selain itu, pihak berkuasa terlibat juga perlu memastikan perkara-perkara berkaitan keselamatan dan ketenteraman awam dikendalikan dengan baik selaras dengan arahan Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma)," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Penyerahan Barang Kes Narkotik Bagi Program Pelupusan 2024 di pekarangan Ibu Pejabat Kontinjen Terengganu di sini pada Selasa.

Iklan

Mengulas lanjut, Mohd Khairi berkata, sebanyak 451 lokasi hotspot banjir dikenal pasti di Terengganu iaitu Kuala Terengganu sebanyak 97, Kuala Nerus (48), Marang (35), Dungun (58), Kemaman (55), Hulu Terengganu (66), Setiu (58) dan Besut (34).

Katanya, sebanyak 590 pusat pemindahan sementara (PPS) mampu menampung seramai 147,590 mangsa banjir.

Dalam pada itu, Mohd Khairi berkata, sebanyak empat balai polis yang berisiko terjejas banjir di negeri ini.

Beliau berkata, empat balai polis itu adalah Balai Polis Kuala Jengal dan Balai Polis Pasir Raja di Dungun, Balai Polis Felda Tenang di Besut serta Balai Polis Manir di Kuala Terengganu.

Justeru, Mohd Khairi mengingatkan kepada seluruh masyarakat khususnya penduduk negeri Terengganu yang akan terkesan akibat banjir agar sentiasa berada dalam keadaan bersiap-sedia demi keselamatan dan kesejahteraan masing-masing.

"Selain itu mengambil langkah sewajarnya bagi mengelak perkara yang tidak diingini berlaku.

"Orang ramai dinasihatkan supaya sentiasa patuh kepada arahan pihak berkuasa bagi melancarkan operasi bantuan.

"PDRM bersama agensi bantuan yang terlibat, sentiasa komited dalam memantau dan memberikan bantuan kepada mana-mana pihak yang terjejas serta memerlukan bantuan kecemasan semasa bencana banjir," ujarnya.

Orang ramai yang ingin mendapatkan maklumat boleh berhubung Pusat Kawalan Kontinjen (CCC) PDRM Terengganu di talian 09-6354745 dan 09-6354743 atau talian MERS 999.