CSM buat laporan polis, ditipu pelajar universiti

Iklan
Zuraini menunjukkan laporan polis yang dibuat di IPD Kubang Pasu pada Isnin.

KUBANG PASU - Seorang pelajar lelaki sebuah universiti di negeri ini dikesan menipu pertubuhan badan bukan kerajaan (NGO), Cancer Survivors Malaysia (CSM) untuk mendapatkan dana kononnya bagi membiayai pengajiannya berjumlah RM5,000.

Pengerusi CSM, Zuraini Kamal berkata, susulan itu beliau telah membuat satu laporan polis di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kubang Pasu pada Isnin untuk mengelakkan NGO lain turut menjadi mangsa.

Iklan
Iklan

Menurutnya, pelajar terbabit menghubunginya pada Ahad lalu dan memperkenalkan diri sebagai Lim yang berusia awal 20-an.

"Dia memberi alasan keluarganya tidak berkemampuan untuk membayar yuran pengajian dan akan dibuang daripada universiti berkenaan jika dia tidak membayar yuran terbabit," katanya ketika ditemui di sini pada Selasa.

Iklan

Zuraini berkata, disebabkan kasihan, beliau memuat naik status di Facebook dengan memberi nombor akaun bank milik pelajar berkenaan untuk memohon rakan-rakan supaya membantu pelajar berkenaan.

"Dia kemudian memberitahu saya telah memperoleh sebanyak RM1,176 selepas beberapa jam kemudian.

Iklan

"Saya kemudiannya cuba menghubungi pihak NGO dari Pulau Pinang untuk meminta mereka membantu namun jawapan yang diterima agak mengejutkan," katanya.

Zuraini berkata, wakil NGO terbabit memaklumkan mereka pernah membantu pelajar berkenaan sehingga mendapat kutipan mencecah lebih RM30,000.

"Tetapi pelajar itu sebenarnya tidak membayar yuran sebaliknya terlibat dalam perjudian dalam talian," katanya.

Tambah Zurain, beliau kemudian menghubungi semula pelajar terbabit namun dia menafikannya malah mengugut untuk membunuh diri.

"Saya meminta pelajar itu memulangkan semula wang kutipan yang disalurkan kepada akaunnya untuk dipulangkan semula kepada penderma yang juga dalam kalangan ahli CSM," katanya.

Zuraini menambah, pelajar itu dan bapanya turut menghubunginya lebih daripada 30 kali untuk memohon maaf dan meminta dia memadam status di Facebook yang mendedahkan taktik pelajar terbabit.

"Saya juga sudah menghubungi pihak universiti dan mereka mengesahkan pelajar itu masih belajar di situ dan turut mengetahui perbuatan pelajar itu yang suka mencari dana dengan menipu," katanya.

Beliau berkata, sebelum ini pelajar itu dikesan menggunakan modus operandi yang sama untuk menagih simpati dengan memberitahu bapanya orang kurang upaya (OKU) manakala ibunya hanya bekerja di pasar Jalan Teluk Wanjah.

"Dia beritahu juga, adiknya baru masuk ke universiti baru-baru ini dan disebabkan itulah ibu bapanya tidak mampu membayar yuran pengajiannya.

"Saya sudah bertanya kepada wakil NGO yang menjadi mangsa pelajar itu dan mereka memaklumkan, pelajar terbabit menggunakan alasan sama untuk menipu mangsanya yang kebanyakannya terdiri daripada NGO," katanya.

Menurutnya, kegiatan pelajar terbabit diharap dapat diambil tindakan oleh pihak berkuasa supaya menjadi pengajaran buatnya pada masa akan datang.

Sementara itu, wakil NGO dari Pulau Pinang, Eng Hiap Boon berkata, setakat ini tujuh NGO di negeri itu menjadi mangsa penipuan pelajar terbabit pada April tahun ini.

Beliau berkata, bagaimanapun kesemua NGO terbabit tidak membuat laporan polis hanya kerana bimbang pelajar itu mengugut untuk membunuh diri.

"Namun apabila, Zuraini menghubungi saya semalam, kami bersetuju apabila dia hendak membuat laporan polis dan menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

"Saya difahamkan, pelajar itu sudah dua tahun melakukan penipuan dengan alasan sama malah turut menipu beberapa orang kenamaan sebelum ini," katanya.