[VIDEO] Pemandu treler didenda RM22,000 kerana memandu secara cuai

Iklan

BATU PAHAT - Pemandu treler didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret Yong Peng di sini, pada Selasa kerana memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan empat kenderaan di persimpangan jalan Sri Medan-Yong Peng, 13 Oktober lalu.

Majistret Suhaila Shafi'uddin menjatuhkan hukuman itu ke atas Mohd Ridzuan Mohd Rani, 47, selepas mengaku bersalah atas empat pertuduhan dihadapinya.

Iklan
Iklan

Sekiranya gagal membayar denda, tertuduh akan dipenjara 10 bulan dan butiran sabitan tertuduh dinyatakan dalam mana-mana lesen memandu milik lelaki itu.

Mengikut pertuduhan, Mohd Ridzuan didakwa memandu kenderaan itu di jalan raya tanpa kecermatan dan perhatian yang sepatutnya terhadap orang lain yang menggunakan jalan berkenaan.

Iklan
Mohd Ridzuan (tengah) didenda RM22,000 oleh Mahkamah Majistret Yong Peng pada Selasa selepas mengaku bersalah memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan empat kenderaan.

Dia didakwa melakukan kesalahan itu di lampu isyarat persimpangan Jalan Sri Medan- Yong Peng, di sini kira-kira pukul 3.47 petang pada 13 Oktober lalu.

Pertuduhan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 43 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333), yang membawa hukuman denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM10,000 atau penjara tidak lebih 12 bulan selain butiran kesalahan wajib dinyatakan dalam lesen memandu, jika sabit kesalahan.

Iklan

Pertuduhan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Farah Wahidah Mohd Sharip dengan tertuduh diwakili peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) Tan Song Yan.

Sebelum itu, Farah Wahidah memohon mahkamah supaya mengenakan hukuman setimpal ke atas tertuduh kerana kes berkenaan tular di media sosial sehingga mencetus kebimbangan orang ramai.

Mohd Ridzuan mengaku memandu tidak cermat sehingga menyebabkan kemalangan empat kenderaan di persimpangan jalan Sri Medan-Yong Peng, 13 Oktober lalu.

Bagaimanapun, Soon Yang memohon supaya denda dikurangkan kerana tertuduh tidak mempunyai rekod kemalangan sejak memandu treler pada 2014 sehingga kini selain pengakuan salah telah menjimatkan masa dan kos.

Mohd Ridzuan yang diberi peluang merayu di depan majistret, menangis dan tidak dapat menahan sebak memberitahu mempunyai dua orang anak yang masih bersekolah.

Kejadian pada 13 Julai itu berlaku apabila lori yang membawa muatan bata hilang kawalan dipercayai akibat masalah brek.

Dalam kejadian itu, treler terbabit merempuh empat kereta serta dua motosikal yang ketika itu sedang menunggu lampu isyarat bertukar hijau.

Ketua Polis Daerah Batu Pahat, Asisten Komisioner Shahrulanuar Mushaddat Abdullah Sani, berkata kemalangan berlaku apabila lori terbabit dari Parit Sulong dalam perjalanan ke Johor Bahru.

Beliau berkata, sebaik tiba di lokasi dengan jalannya menuruni bukit, pemandunya mendapati treler itu mengalami masalah brek sebelum merempuh kenderaan berhenti di persimpangan lampu isyarat terbabit.