BACHOK - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Kelantan memberi jaminan bekalan makanan mencukupi bagi menghadapi Monsun Timur Laut (MTL) yang dijangka bermula November ini.
Pengarahnya, Azman Ismail berkata, 70 pemborong utama (DDW) telah dilantik untuk menyimpan stok bagi memastikan bekalan di pasaran sentiasa mencukupi sejurus berlaku banjir.
"Kesemua pemborong ini dibenarkan untuk menyimpan stok sebanyak 30 peratus daripada jumlah asal mengikut lesen yang diluluskan oleh KPDN," katanya sidang media Program Pelupusan Barang Kes di stor penyimpanan KPDN di Kandis di sini pada Selasa.
Menurut Azman, penyimpanan stok itu dibenarkan bermula November hingga Februari ini.
Ujarnya, kesemua stok bekalan makanan itu sudah dibawa masuk ke negeri ini sebagai persediaan menghadapi MTL.
Azman memberitahu, langkah awal itu penting bagi memastikan proses agihan berjalan lancar nanti.
"Pengalaman semasa banjir 2014 lalu banyak mengajar kita. 70 DDW kebanyakannya berada di Kota Bharu dan setiap jajahan di negeri ini," katanya.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) sebelum ini menjangkakan MTL akan berlaku pada awal bulan depan berdasarkan faktor klimatologinya.
Ketika ini, Malaysia masih berada dalam fasa peralihan monsun bermula 24 September lalu dan ia dijangka berterusan sehingga awal bulan depan.
Fenomena banjir juga dijangka melanda beberapa negeri juga mungkin disebabkan MTL.