Pendawai elektrik tak mengaku lakukan khianat, cederakan lelaki

Iklan
Tertuduh (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah George Town pada Selasa.

GEORGE TOWN - Seorang pendawai elektrik mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan melakukan khianat dan mendatangkan kecederaan dalam dua kejadian berasingan pada September dan Oktober lalu.

Tertuduh, Mohd Hafiz Abidin, 39, membuat pengakuan itu di hadapan Majistret Nadratun Naim Mohd Saidi selepas pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa.

Iklan
Iklan

Keadaan mahkamah bertukar kecoh apabila tertuduh mengeluarkan kata-kata kesat susulan tidak berpuas hati dengan pertuduhan yang dikenakan terhadapnya.

Nadratun Naim kemudiannya mengarahkan polis pengiring membawa tertuduh keluar disebabkan faktor mengganggu prosiding mahkamah.

Iklan

Mengikut pertuduhan pertama, Mohd Hafiz didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menumbuk cermin depan kereta jenis Honda BR-V milik seorang lelaki berumur 37 tahun sehingga menyebabkan kerugian RM1,570.50.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu di hadapan pejabat Agensi Pertahanan Awam (APM) di Lebuh Peel, di sini, kira-kira jam 2.30 petang pada 17 Oktober lalu.

Iklan

Pertuduhan dilakukan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara antara setahun hingga lima tahun atau denda atau kedua-duanya sekali.

Bagi pertuduhan kedua pula, Mohd Hafiz didakwa dengan sengaja mendatangkan kecederaan ke atas seorang lelaki lain berusia 35 tahun dengan menumbuk mukanya di tepi Jalan Kimberley di sini, kira-kira jam 6.30 petang pada 12 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang sabit kesalahan boleh dipenjara sehingga setahun atau denda maksimum RM2,000 atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya, M Darrshini menawarkan jaminan RM9,000 bagi kedua-dua pertuduhan dan beserta syarat tambahan dilarang ganggu saksi pendakwaan.

Peguam Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK) yang mewakili tertuduh memohon kadar jaminan itu dikurangkan memandangkan tertuduh memperoleh gaji RM35 sehari dan perlu menjaga ibu, selain seorang kakak kurang upaya (OKU).

Mahkamah menetapkan jaminan RM10,000 bagi kedua-dua pertuduhan dengan seorang penjamin dan tertuduh tidak dibenarkan mengganggu mana-mana saksi pendakwaan sepanjang kes selesai.

Kes akan disebut semula pada 21 November depan untuk lantikan peguam dan serahan dokumen.