KUALA LUMPUR - Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) bekerjasama rapat dengan Unit Pantau MADANI di bawah Kementerian Kewangan untuk mengkaji model pembiayaan baharu yang lebih efisien dan mampan bagi jangka masa panjang.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, ketika ini model pinjaman PTPTN bergantung kepada prestasi bayaran balik sebagai sumber utama dana pusingan dalam memastikan kelestarian pembiayaan untuk manfaat peminjam pada masa akan datang.
"Sebarang keperluan atau kekurangan dana bagi tujuan pembiayaan PTPTN akan ditampung dengan perolehan dana melalui pinjaman daripada institusi kewangan tempatan atau melalui pengeluaran sukuk dengan jaminan kerajaan,” katanya pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Shamshulkahar Mohd Deli (BN-Jempol) yang ingin tahu inisiatif kerajaan bagi menggalakkan pembayaran balik pinjaman PTPTN memandangkan 430,000 peminjam dilaporkan gagal membuat bayaran balik dengan tunggakan sebanyak RM6 bilion.
Mustapha berkata, PTPTN telah memberhentikan tindakan penguatkuasaan bayaran balik pinjaman serta sekatan perjalanan kepada peminjam ingkar sejak Jun 2018, namun PTPTN dari semasa ke semasa mengingatkan peminjam mengenai tunggakan dan tanggungjawab mereka untuk membuat bayaran balik.
Malah beliau berkata, PTPTN juga menyediakan insentif tertentu bagi menggalakkan peminjam membuat bayaran balik seperti penstrukturan dan penjadualan bayaran balik mengikut kemampuan masing-masing.
Menjawab soalan tambahan Sabri Azit (PN-Jerai) mengenai perancangan untuk mengkaji pemansuhan hutang PTPTN kepada peminjam daripada golongan B40, Mustapha berkata perkara itu sukar dilaksanakan kerana komitmen kerajaan yang begitu besar ketika ini. - Bernama