[VIDEO] Gaji minimum RM1,700 beri kesan besar kepada PMKS - Ka Siong

Iklan

KUALA LUMPUR - Pengumuman gaji minimum bulanan daripada RM1,500 kepada RM1,700 bermula tahun depan akan memberi kesan besar terhadap perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS).

Ahli Parlimen Ayer Hitam, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, ini kerana kenaikan tersebut melibatkan jumlah yang agak tinggi.

Iklan
Iklan
Ka Siong

"Kenaikan secara mendadak RM200 bukan saja melibatkan gaji minimum semata-mata, ia turut menggerakkan setiap gred tangga gaji setiap pekerja di dalam syarikat tanpa mengira sama ada terdapat anjakan produktiviti.

"Malah yang paling terkesan ialah PMKS yang banyak bergantung kepada pekerja asing kerana pengiraan OT (kerja lebih masa) setiap pekerja asing berdasarkan gaji pokok yang lebih tinggi.

Iklan

"Kesannya kos pengeluaran akan meningkat,” katanya ketika sesi Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu mengumumkan kerajaan bersetuju menaikkan kadar gaji minimum daripada RM1,500 kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari tahun depan.

Iklan

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, kerajaan memutuskan untuk menangguhkan pelaksanaan gaji minimum RM1,700 bagi majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja selama enam bulan hingga 1 Ogos 2025.

Mengulas lanjut, Ka Siong yang juga Presiden MCA berkata, pengumuman terbaharu itu juga turut memberi beban berganda memandangkan dasar gaji progresif turut dilaksanakan pada tahun depan.

Sehubungan itu, beliau turut membangkitkan persoalan mengenai usaha kerajaan untuk membantu sektor PMKS yang terkesan akibat pelaksanaan tersebut.