Peniaga didakwa biar arnab mati kelaparan

Iklan
Shairazi mengaku tidak bersalah atas tuduhan cuai untuk menyediakan makanan dan minuman bagi dua ekor arnab kepunyaannya di Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa.

IPOH - Seorang peniaga dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Ipoh pada Selasa atas tuduhan tidak memberi arnab peliharaannya makan sehingga mati tahun lalu.

Tertuduh Shairazi Jamal Hatun, 43, didakwa melakukan kesalahan itu jam 11 pagi pada 9 Jun 2023 di dalam Petting Zoo Taman Herba Batu 1, Jalan Simpang Pulai, Kampung Kepayang di sini.

Iklan
Iklan

Mengikut pertuduhan, lelaki itu didakwa telah cuai untuk menyediakan makanan dan minuman bagi dua ekor arnab kepunyaannya sehingga menyebabkan seekor daripadanya mati dan seekor lagi dalam keadaan terlalu kurus.

Perbuatan itu merupakan kesalahan di bawah Subseksyen 29(1)(d) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum mengikut Subseksyen 29 (1) akta sama yang membawa hukuman denda antara RM20,000 hingga RM100,000 atau penjara maksimum tiga tahun atau kedua-duanya jika sabit kesalahan.

Iklan

Bagaimanapun lelaki terbabit mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Azizah Ahmad.

Pendakwaan dikendalikan oleh Pegawai Pendakwa Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV), Roziman Awang Tahrin, manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Iklan

Mahkamah kemudiannya menetapkan sebutan semula kes pada 28 November depan untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.