Abah Hayat abaikan kritikan, mahu terus aktif di TikTok

Iklan
Khairul Anuar berharap masyarakat ataupun netizen di media sosial tidak mempertikaikan usahanya itu.

ALOR SETAR - Tindakan bekas banduan hayat, Khairul Anuar Zakaria, 64, yang aktif di media sosial adalah bagi membimbing anak bangsa supaya tidak melakukan kesilapan sepertinya sehingga meringkuk selama 23 tahun di dalam penjara.

Dia yang baru sahaja dibebaskan dari Penjara Pokok Sena, dekat sini pada 3 Oktober lalu, bersyukur kerana diberikan peluang kedua dan berharap masyarakat ataupun netizen di media sosial tidak mempertikaikan usahanya itu.

Iklan
Iklan

Menurutnya yang dikenali sebagai Abah Hayat, anak-anaknya banyak membantu dalam mengenali selok-belok perkembangan teknologi media massa terutama media sosial dan dia masih lagi dalam proses untuk mengenali serta belajar menggunakannya.

"Saya anggap ini sebagai satu ujian buat saya. Walaupun ada kelompok yang mengkritik namun pada waktu yang sama masih ramai yang menerima usaha yang sedang saya lakukan ini.

Iklan

"Suatu hari nanti mereka (yang kritik) akan faham, saya cuba serap dan abaikan kata-kata negatif seperti itu. Hendak bagi mereka semua faham akan ambil masa,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Selasa.

Khairul Anuar aktif di media sosial melalui akaun TikTok Abah Hayat Bkt Pinang selepas dibebaskan dari penjara dan kini mempunyai 34,700 pengikut setakat petang Selasa.

Iklan

Bagaimanapun, tindakan dia aktif di TikTok mendapat kritikan segelintir netizen yang mempertikaikan tujuannya berbuat demikian.

Khairul Anuar berkata, matlamatnya kini hanyalah mahu menjadi manusia yang berguna kepada orang lain berbekalkan masa yang ada sebelum dijemput Ilahi.

Katanya, dia tidak mampu untuk menjawab semua kritikan tersebut di media sosial namun akan berusaha untuk memberikan kefahaman kepada mereka dari semasa ke semasa.

"Saya akan bersangka baik, dalam 100 orang yang kritik, jika lima daripadanya sudah semakin faham dengan apa yang saya cuba sampaikan, saya sudah bersyukur,” ujarnya.

Khairul Anuar mahu menjadi manusia yang berguna kepada orang lain berbekalkan masa yang ada sebelum dijemput Ilahi.

Dalam pada itu, bapa kepada sembilan anak ini menerusi hantaran terbaru di TikTok berkata, apa yang telah berlaku telah menjadi sejarah dan dia mahu memulakan kehidupan baharu dengan sebuah harapan.

"Kalau orang menilai abah kerana buat benda ni (jenayah) dulu, apa yang boleh dibuat? Ia sudah berlalu. Kita tidak boleh tarik balik, sudah jadi sejarah. Sekarang ini dan esok adalah harapan. Jangan jadi cacing kepanasan apabila orang komen negatif.

"23 tahun dalam penjara mengajar abah untuk menyerap tekanan ini. Abah berterima kasih kepada yang komen positif dan negatif. Paling penting kita tahu arah tujuan sekarang ini ke arah kebaikan,” katanya.

Pada 22 September 2008, media melaporkan Khairul Anuar yang merupakan seorang jurujual dihukum gantung sampai mati selepas didapati bersalah membunuh seorang tukang besi, Chuah Leng Hai, 38, dengan tubuh mangsa dikerat lapan bahagian.

Sementara itu, dua lagi tertuduh dalam kes tersebut iaitu Ariffin Ahmad, 47, dan Muhammad Zaidi Salleh, 42, dibebaskan setelah didapati tidak bersalah.

Mengikut pertuduhan, Khairul Anuar didakwa melakukan perbuatan itu di sebuah rumah di Taman Datuk Kumbar, di sini antara jam 5 pagi hingga 6.35 pagi, 4 Jun 2001.

Khairul Anuar kemudian mendapat pengampunan daripada Sultan Kedah pada Mei 2018 dan status banduan akhir berubah kepada banduan hayat.

Pada Februari 2024, kes berkenaan dibawa ke Mahkamah Alor Setar semula kerana kerajaan memansuhkan hukuman hayat ke atas semua banduan di penjara dan hukumannya digantikan dengan hukuman penjara selama 35 tahun dari tarikh tangkap iaitu pada 2001.