Kepengerusian ASEAN: MAHB lakukan penambahbaikan di pintu masuk negara

Iklan
Anthony Loke bersama Ketua Pegawai Pengalaman Lapangan Terbang dan Pelanggan AirAsia Aviation Group, Kesavan Sivanandam (kanan), meninjau penggunaan Unit Kombo cekap tenaga, inisiatif baharu AirAsia untuk mengurangkan pelepasan karbon, pada majlis perkenalan alat tersebut di KLIA Terminal 2, pada Selasa. Foto Bernama

SEPANG - Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB) telah diminta untuk melaksanakan beberapa penambahbaikan di semua pintu masuk negara sebagai persiapan menghadapi Kepengerusian ASEAN tahun depan.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata, ia selaras arahan Kabinet yang mahu Kementerian Pengangkutan memastikan semua pintu masuk negara bersedia.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, kerja menaik taraf dan penambahbaikan di semua pintu masuk negara khususnya Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur perlu disiapkan sebelum 31 Disember ini.

"Kita telah minta MAHB untuk ubah suai dan juga menaik taraf bilik kenamaan (VIP) umpamanya kerana kita jangka ramai orang kenamaan, pemimpin ASEAN akan memasuki melalui pintu masuk utama terutama di KLIA Terminal 1.

Iklan

"Bilik dan laluan VIP ditambah baik dan dinaik taraf. (Sebenarnya) dalam lapangan terbang sendiri memang ada banyak penambahbaikan yang sedang berjalan,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan teknologi sokongan darat terkini AirAsia, di sini pada Selasa.

Beliau berkata, Perkhidmatan Penggerak Penumpang Automasi (Aerotrain) juga dijangka beroperasi semula awal Februari tahun depan sekali gus memantapkan persiapan Kepengerusian ASEAN.

Iklan

Sebelum ini, Laos secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada Majlis Penutupan Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.

Pada majlis itu Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima tukul Kepengerusian ASEAN daripada Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone sebagai simbolik penyerahan jawatan berkenaan.

Anwar turut memperkenalkan logo dan tema untuk Pengerusi ASEAN Malaysia 2025 iaitu ‘Keterangkuman dan Kelestarian’ pada majlis berkenaan.

Malaysia sebelum ini pernah memegang jawatan itu sebanyak empat kali iaitu pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

Mengenai Kod Perlindungan Pengguna Penerbangan Malaysia (MACPC) 2016 yang ditambah baik, Anthony berkata, pengguna diminta untuk melaporkan kepada Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (MAVCOM) sekiranya terdapat syarikat penerbangan yang tidak mematuhi kod perlindungan itu.

"Kalau ada syarikat penerbangan langgar kod etika tersebut, penumpang boleh buat aduan kepada MAVCOM. Ini sesuatu yang dipantau sepanjang masa.

"Ia bukan bermusim, bila-bila masa kalau ada perlanggaran kod etika dan kalau penumpang rasa mereka dilayan tidak adil atau rasa hak mereka terjejas (laporkan),” katanya.

Sebelum ini, Anthony berkata, syarikat penerbangan dikehendaki menawarkan pengguna pilihan bayaran balik penuh bagi kelewatan penerbangan lima jam dan lebih kepada penumpang yang tidak mahu meneruskan perjalanan mereka, berkuat kuasa 2 September lalu.

Beliau berkata, perkara itu antara penambahbaikan baharu dalam MACPC yang dilaksanakan Kementerian Pengangkutan menerusi MAVCOM dan diwartakan September lepas. - Bernama