Pengawal keselamatan didakwa merogol, amang seksual fizikal anak kandung

Iklan
Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di Kuala Lumpur pada Selasa atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya berumur 15 tahun.

KUALA LUMPUR - Seorang pengawal keselamatan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini pada Selasa atas dua pertuduhan merogol dan melakukan amang seksual fizikal terhadap anak perempuan kandungnya berumur 15 tahun.

Bapa berusia 40 tahun itu didakwa merogol anaknya berumur 15 tahun tiga bulan ketika kejadian, yang mengikut hukum agama hubungan mangsa dengan tertuduh tidak dibenarkan untuk berkahwin, di sebuah perumahan awam di Bandar Tun Razak, Cheras di sini, sekitar Disember 2023 hingga Februari 2024.

Iklan
Iklan

Pertuduhan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lapan tahun dan tidak lebih 30 tahun serta maksimum 10 sebatan, jika sabit kesalahan.

Lelaki itu juga didakwa melakukan amang seksual fizikal terhadap mangsa sama, di lokasi serupa pada 11 pagi, 14 Februari 2024, mengikut Seksyen 14(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang berdepan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Iklan

Timbalan Pendakwa Raya Atiqa Nazihah Azmi berkata kesalahan dilakukan tertuduh adalah kesalahan yang tidak boleh dijamin dan pihak pendakwaan membantah jaminan diberikan kepada tertuduh, kerana sebagai ayah dia boleh mengesan dan mendekati mangsa serta saksi-saksi pendakwaan.

"Bagi melindungi mangsa serta saksi-saksi pendakwaan, pihak kami membantah jaminan diberikan kepada tertuduh, namun sekiranya mahkamah membenarkan jaminan, pendakwaan mohon jumlah jaminan RM20,000 bagi setiap pertuduhan.

Iklan

"Tertuduh juga dilarang mendekati dan tinggal sebumbung dengan mangsa serta saksi-saksi pendakwaan termasuk ibu mangsa selain melaporkan diri di balai polis berhampiran sebulan sekali, serta menyerahkan pasport kepada mahkamah sehingga kes selesai,” katanya.

Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar mahkamah membenarkan jaminan kerana dia merupakan orang kurang upaya.

Hakim Siti Aminah Ghazali tidak membenarkan jaminan dan menetapkan sebutan semula kes pada 29 Oktober ini.

Dalam pada itu, lelaki terbabit juga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini hari ini, atas tiga pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap tiga anak kandungnya masing-masing berumur 11, 13, dan 16 tahun di dalam rumah di perumahan awam Bandar Tun Razak, Cheras di sini, antara 11 pagi hingga 8 malam, 14 Oktober 2024.

Pertuduhan itu dikemukakan mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 326A kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara boleh sampai setahun atau dengan denda boleh sampai RM2,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Majistret Noorelynna Hanim Abd Halim yang menetapkan sebutan semula kes pada 13 Januari depan membenarkan tertuduh diikat jamin RM6,000 dengan seorang penjamin bagi kesemua pertuduhan dan tertuduh tidak dibenarkan mendekati mangsa dan saksi pendakwaan selain perlu melapor diri di balai polis berhampiran dan pasport diserahkan kepada mahkamah sehingga kes selesai.

Kes itu dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nursyuhada Husna Sulaiman, manakala tertuduh diwakili peguam daripada Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan Edwin Tomas. - Bernama