MEMASUKI tahun ketiga, Kolej UNITI dan UNITI Halal Centre (UHAC) meneruskan lagi hasrat dan tekad mereka dalam memperkasa serta memartabatkan profesion eksekutif halal melalui penganjuran Persidangan Kebangsaan Eksektif Halal 2024 (PEH24).
Ketua Pegawai Eksekutif Kolej UNITI Port Dickson, Amir Hamzah Md Isa berkata, persidangan selama dua hari bermula Selasa itu memilih tema Memperkasa bakat dan profesional halal pada penganjurannya kali ini.
"Eksekutif halal merupakan pasukan barisan hadapan dalam pelaksanaan dan pematuhan syariah serta standard pensijilan halal Malaysia.
"Mereka akan mengemudi perbincangan mengenai maklumat terbaharu berkaitan polisi dan halal tuju kerajaan serta keperluan dan dinamika cabaran-cabaran di industri,” katanya.
Beliau berkata demikian pada hari pertama pembukaan PEH24 di Bangi Avenue Convention Centre, Bangi pada Selasa. Turut hadir Pengarah UHAC, Ustaz Muhamad Elyas Harun.
Tambah Amir Hamzah, PEH24 turut membawakan penampilan istimewa Ketua Badan Penyelenggaraan Jaminan Produk Halal Indonesia (BPJPH), Dr Muhammad Aqil Irham yang berkongsi tentang transformasi halal di Indonesia terutamanya peranan mereka menuju Indonesia Maju.
Selain itu katanya, PEH24 pasti akan menjadi medan untuk para peserta saling mengenal, membina jambatan ukhuwah dan mengeratkan silaturahim dalam kalangan pengamal dan pejuang halal.
"Jaringan yang terjalin ini akan menjadi aset, kekuatan dan kelebihan yang sangat bernilai kepada mereka,” katanya.
Ujarnya, penganjuran PEH24 ini juga merupakan manifestasi komitmen Kolej UNITI sebagai Pusat Latihan Halal yang diiktiraf Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) sejak 2018.
Hari pertama pada Selasa, empat sesi dilangsungkan iaitu Dasar Halal Negara: Masa depan eksekutif halal; Penggunaan Mikroorganisma dari sumber najis: Halal atau haram?; Peranan Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta 2S: Ketahui seni dan skil meyakinkan juruaudit.
Pada hari kedua (Rabu), empat lagi sesi akan diadakan iaitu Transformasi halal: BPJPH menuju Indonesia Maju; Cabaran sumber bahan dalam skim halal famaseutikal, barang gunaan dan hotel: Strategi dan penyelesaian; Mengatasi krisis halal: Cabaran dan solusi serta sesi terakhir iaitu Apa khabar industri halal: Dari kanta pensijilan peringkat negeri.