Belanjawan 2025: KDN perkasa agensi penguatkuasaan selaras peningkatan peruntukan

Iklan
Peningkatan peruntukan sebanyak dua peratus kepada KDN dalam Belanjawan 2025 selaras dengan peranan besar kementerian itu untuk memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara. - Foto Bernama

SHAH ALAM - Peningkatan peruntukan sebanyak dua peratus kepada Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam Belanjawan 2025 selaras dengan peranan besar kementerian itu dalam memastikan keselamatan dan ketenteraman awam sentiasa terpelihara.

KDN dalam satu kenyataan berkata, ia termasuk usaha memperkukuh keselamatan sempadan, perairan dan pintu masuk antarabangsa negara bersesuaian dengan visi Malaysia Madani iaitu semua rakyat Malaysia hidup bermaruah meliputi hak asasi serta kualiti hidup terjamin.

Iklan
Iklan

"KDN menyambut baik dan menghargai pengumuman semasa pembentangan Belanjawan Rakyat 2025 dengan tema 'Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan dan Mensejahtera Rakyat'.

"Secara keseluruhannya, KDN diperuntukkan sebanyak RM19.5 bilion terdiri daripada RM15.5 bilion bagi Perbelanjaan Mengurus (OE) dan RM4 bilion bagi Perbelanjaan Pembangunan (DE) iaitu kenaikan sebanyak dua peratus berbanding Belanjawan 2024 sebanyak RM19.06 bilion.

Iklan

"Peningkatan keseluruhan peruntukan KDN ini menggambarkan peranan penting KDN sebagai pemangkin kerangka Ekonomi Madani dalam konteks memperkukuh perpaduan dan keselamatan negara," katanya pada Selasa.

Mengulas lanjut, Belanjawan 2025 memperlihatkan bahawa kerajaan serius dalam usaha memastikan agensi penguatkuasaan dapat terus memperhebat tindakan pemeliharaan kesejahteraan rakyat, menangani ketirisan hasil dan memperketat langkah kawalan penyeludupan.

Iklan

Kementerian itu berkata, ia termasuk meningkatkan usaha penguatkuasaan serta operasi secara bersepadu melibatkan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) dan agensi-agensi penguatkuasaan yang lain.

Justeru, kata kenyataan itu, KDN amat berbesar hati dengan perhatian dan peruntukan yang diberikan kerajaan.

"Antara rumusan Bajet 2025 yang melibatkan KDN adalah pelaksanaan projek naik taraf Pos Kawalan dan Pembinaan blok baharu di Kompleks ICQS Wang Kelian, perkhidmatan MEKAR JPN akan diteruskan dan penggubalan akta baharu berkaitan tahanan di rumah sebagai alternatif.

"Bagi mendepani cabaran untuk memelihara keselamatan ketenteraman awam serta memastikan kedaulatan negara terjamin, KDN akan terus bersama dengan kerajaan bagi mempertingkatkan keberkesanan dan kecekapan perkhidmatan kepada rakyat dan negara.

"KDN yakin bahawa Belanjawan 2025 akan memperkasa agensi penguatkuasaan di Malaysia seterusnya menjamin masa depan negara yang lebih berdaya tahan dan inklusif untuk semua rakyat," katanya.