Malaysia lancar logo, tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025

Iklan
Mohamad bergambar bersama para perwakilan dari negara-negara ASEAN pada Majlis Pelancaran Logo dan Tema ASEAN 2025 di Wisma Putra hari ini. Foto Bernama

PUTRAJAYA - Malaysia melancarkan secara rasmi logo dan tema Kepengerusian ASEAN-Malaysia 2025 sebagai persediaan negara untuk memimpin kumpulan serantau yang terdiri daripada 10 anggota itu pada tahun depan.

Menteri Luar Negeri, Datuk Seri Mohamad Hassan berkata, bunga raya atau nama saintifiknya, hibiscus rosa-sinensis yang mudah ditemui di negara ASEAN diangkat sebagai logo.

Iklan
Iklan

"Walaupun logo itu sudah diketahui ramai ketika Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima mandat semasa di Laos baru-baru ini, kita melancarkan logo rasmi hari ini," katanya di sidang akhbar sempena majlis perasmian logo berkenaan di Wisma Putra pada Selasa.

Kementerian Luar Negeri hari ini melancarkan Logo dan Tema ASEAN 2025 di Wisma Putra hari ini. Foto Bernama

Iklan

Menurutnya, selaku Pengerusi ASEAN tahun depan, Malaysia berperanan untuk memastikan supaya kesatuan ASEAN yang ditubuhkan sejak 67 tahun lalu berasaskan kepada zon bebas, aman dan berkecuali dapat dikekalkan.

"Mesej yang ingin ditunjukkan kepada masyarakat, betapa keperluan untuk kita terus bersama dan jangan terpikat dengan usaha yang mahu memecahbelahkan kita.

Iklan

"ASEAN adalah gabungan yang kuat dan perlu dipertahankan," jelas beliau.

Mohamad berkata, stigma bunga raya yang mengarah ke kanan menandakan Malaysia akan membawa ASEAN ke hadapan.

Enam nilai Madani iaitu kemampanan, kesejahteraan, daya cipta, hormat, keyakinan dan ihsan turut menjadi asas kepada visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN.

Terdahulu, Mohamad dalam ucapannya berkata, pendekatan bernuansa dan praktikal ASEAN untuk menguruskan persaingan geopolitik di kalangan kuasa besar semakin dilihat sebagai contoh berharga bagi dunia membangun.

Mohamad bersama pencipta logo ASEAN 2025 Muhamad Khalis Syafiq Mohamad Nasir pada Majlis Pelancaran Logo dan Tema ASEAN 2025 di Wisma Putra hari ini. Foto Bernama

Beliau berkata, tumpuan ASEAN terhadap berkecuali, dialog, dan kerjasama serantau telah menjadi kunci untuk memelihara kestabilan Asia Tenggara di tengah-tengah persaingan luar.

"Sebagai contoh, perdagangan ASEAN dengan China mencatatkan AS$696.7 bilion pada 2023, mencerminkan kedudukan China sebagai rakan dagangan terbesar kami sejak 2009.

Pada masa yang sama, perdagangan dengan Amerika Syarikat berjumlah AS$395.9 bilion,” katanya.

Laos pada 11 Oktober lalu secara rasmi menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane.

Anwar berkata Kepengerusian Malaysia akan memulakan lembaran baharu di bawah Wawasan Komuniti ASEAN 2045.

Malaysia memegang Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.

ASEAN yang diasaskan pada 8 Ogos 1967, kini terdiri daripada 10 negara anggota Asia Tenggara, dengan keahlian penuh Timor-Leste masih dalam proses.

Mengulas mengenai keahlian Timor-Leste, Mohamad berkata, Malaysia mahu proses dokumentasi keanggotaan negara itu dipermudahkan.

"Terdapat sebanyak 86 instrumen dan sebahagian besar dokumen adalah berasaskan ekonomi yang mungkin boleh dipermudahkan," katanya.

Timor-Leste diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005, sebelum secara rasmi memohon keanggotaan pada 4 Mac 2011.