BADMINTON yang merupakan antara penyumbang pingat untuk negara di Sukan Komanwel telah digugurkan daripada temasya tersebut yang akan diadakan di Glasgow, Scotland pada 23 Julai sehingga 2 Ogos 2026.
Berdasarkan kenyataan Persekutuan Sukan Komanwel (CGF), sebanyak 10 jenis sukan akan dipertandingkan pada edisi tersebut berbanding 19 jenis sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham England.
Sukan yang akan dipertandingkan iaitu olahraga dan para (trek dan padang), renang dan para renang, gimnastik artistik, trek berbasikal dan para trek berbasikal.
Selain itu, bola jaring, angkat berat dan powerlifting, tinju, judo, boling padang dan boling padang para, bola keranjang tiga lawan tiga dan bola keranjang kerusi roda tiga lawan tiga.
Mengulas mengenai ketiadaan sukan utama negara tersebut pada edisi Komanwel kali ini, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) menerima keputusan Glasgow itu dan memahami usaha menjadikan Sukan Komanwel 2026 berdaya maju dari segi kewangan.
Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, langkah itu tidak dapat dielakkan, mengikut masa dan keperluan susulan penarikan diri Victoria, Australia tahun lepas.
"Fokusnya adalah untuk menjadikan sukan yang boleh mencapai kualiti tertinggi dari segi kewangan dengan cara yang mampan.
"Dalam bergerak ke hadapan, terdapat keperluan untuk mengutamakan perkara yang paling penting kepada atlet dan sukan.
"Oleh itu, kami menerima hakikat Glasgow 2026 akan menjadi lebih kecil daripada sukan sebelumnya dengan mengorbankan sukan yang kita hebat seperti badminton, akuatik - terjun, hoki dan skuasy," katanya dalam satu kenyataan.
Pada Selasa, Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) secara rasmi mengesahkan Glasgow sebagai tuan rumah dan menjadikan ia edisi kedua dianjurkan Scotland selepas edisi 2024.
Sebelum ini, Malaysia juga pernah ditawarkan menjadi tuan rumah edisi 2026 itu tetapi membuat keputusan menolak tawaran tersebut.
Dalam pada itu, beliau turut melihat penganjuran kali ini akan menjadi peluang untuk menetapkan pelan tindakan baharu untuk masa depan sukan Komanwel yang mampan.
"MOM akan membincangkan strategi yang diperlukan untuk menghadapi isu ini dengan pihak yang berkaitan
pihak berkepentingan, termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (NSA)," katanya.