'Kepercayaan GISBH melampau'

Iklan
Video Anhar yang dimuat naik dalam Facebook Jabatan Mufti Selangor pada Selasa.

SHAH ALAM - Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor mengesan beberapa elemen penyelewengan berkaitan akidah dan syariah membabitkan pemimpin, pengikut dan ahli GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH).

Mufti Selangor, Datuk Dr Anhar Opir berkata, antara aspek berkaitan akidah didapati mereka menyakini pengasas Aurad Muhamadiah, Syeikh Suhaimi tidak mati, sebaliknya hanya ghaib.

Iklan
Iklan

"Begitu juga Ashaari Muhammad boleh memberikan syafaat kepada pengikut-pengikutnya," katanya dalam satu video di Facebook pada Selasa.

Jelas Anhar, kepercayaan GISBH itu dianggap melampau dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan taasub kepada kepimpinan sehingga menganggap bahawa Ashaari akan bangkit semula sebagai pemuda Bani Tamim untuk menolong dan juga membantu Imam Mahdi.

Iklan

"Aspek berkaitan syariah pula, kami dapati mereka mengamalkan konsep ekonomi atau cara hidup dan tanggungan daripada kumpulan syarikat ini kepada pengikut-pengikut mereka tanpa dibayar upah serta gaji setimpal.

"Mereka ini juga telah mengeksploitasikan kanak-kanak, memisahkan suami dengan isteri, ibu bapa dan juga anak, maka ia meruntuhkan institusi keluarga dalam Islam itu sendiri," ujar beliau.

Iklan

Anhar memberitahu, isu GISBH telah dibincangkan dalam mesyuarat khas jawatankuasa fatwa pada 30 September lalu yang memutuskan GISBH didapati masih mengamalkan Aurad Muhammadiyah yang telah difatwakan menyeleweng dan sesat sebagaimana Warta 54 pada 4 Februari 1993.

"Fatwa ini selepas mengambil kira maklumat dan juga fakta termasuk memanggil Ketua Pegawai Eksekutif GISBH," katanya.

Sehubungan itu katanya, menyokong dan memberikan sumbangan kepada GISBH adalah dilarang sama sekali.

"Fatwa menyebutkan juga bahawa proses pemulihan pemimpin, pengikut dan ahli GISBH wajib untuk dilakukan," jelasnya.

Sinar Harian pada 18 Oktober lalu melaporkan, Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor menetapkan fahaman, ajaran dan amalan oleh pengikut, pekerja atau ahli serta kanak-kanak yang dikaitkan dengan GISBH dan rangkaiannya difatwa haram.

Perkara itu disiarkan dalam Warta Kerajaan Negeri Selangor pada Rabu lalu selepas mendapat perkenan Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.