JBIC beri komitmen pertingkat pelaburan syarikat Jepun di Malaysia - PM

Iklan
Anwar (tengah) menerima kunjungan hormat delegasi JBIC yang diketuai pengerusi merangkap penasihat khas kepada Kerajaan Jepun, Tadashi Maeda. Foto Facebook Anwar Ibrahim

KUALA LUMPUR - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini berkata Japan Bank for International Cooperation (JBIC) menyatakan komitmennya terhadap usaha meningkatkan pelaburan sedia ada dengan menarik lebih ramai pelabur dari Jepun ke Malaysia.

Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, JBIC juga sedang giat mengadakan perbincangan dengan beberapa syarikat tempatan daripada pelbagai industri.

Iklan
Iklan

"Saya tekankan kepentingan memperkukuh persahabatan dan kerjasama erat antara Malaysia dan Jepun untuk terus meneroka lebih banyak pelaburan berkualiti tinggi.

"Ini bagi memastikan kerjasama pelaburan, khususnya dalam sektor tenaga ini direalisasikan demi kepentingan rakyat," kata Anwar menerusi catatan dalam Facebook rasmi beliau.

Iklan

Awal hari ini, beliau telah menerima kunjungan hormat delegasi JBIC yang diketuai pengerusi merangkap penasihat khas kepada Kerajaan Jepun, Tadashi Maeda.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Penasihat Dasar, Tan Sri Mohd Hassan Marican.

Iklan

Perdana Menteri mendedahkan menerusi pertemuan itu, mereka turut bertukar pandangan berhubung pembangunan tenaga hijau, tenaga boleh baharu dan pasaran tenaga.

Turut dibincangkan ialah pembinaan pusat-pusat data serta pelaburan dalam industri pendigitalan, kata Anwar. - Bernama