KUALA LUMPUR - Pembinaan hentian Rehat dan Rawat (R&R) di jajaran Lebuhraya Lingkaran Tengah Utama (LTU) Seksyen 4A: Kampung Relong ke Ladang Jerkoh, Kuala Lipis dijangka siap pada Ogos tahun depan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kerja-kerja pembinaan hentian R&R itu dijangka bermula pada Mac 2025 atau lebih awal.
"Sekarang ini baru dibina platform dan jalan untuk menuju ke platform itu belum dibina, dijangka pembinaannya tidak lama lagi,” katanya pada sesi Kamar Khas Dewan Rakyat pada Selasa.
Beliau menjawab usul dikemukakan Abdul Latiff Abdul Rahman (PN-Kuala Krai) mengenai jumlah hentian R&R yang akan dibina di Pahang dan Kelantan.
Bagi Lebuhraya Kota Bharu ke Kuala Krai (KBKK), Ahmad yang juga Ahli Parlimen Pontian berkata, pembinaan hentian R&R di jajaran lebuh raya itu di Seksyen Bukit Tiu ke Kampung Berangan Mek Nab dijangka siap pada Januari 2026.
Beliau berkata, kedua-dua hentian R&R itu akan dilengkapi dengan kemudahan asas seperti kawasan rehat, tandas, surau, gerai jualan, kawasan permainan kanak-kanak, rumah sampah dan tempat parkir yang mampu meningkatkan tahap keselesaan serta keselamatan pengguna jalan raya.
Ahmad berkata, kajian awal mendapati pembinaan dua hentian R&R baharu di sepanjang jajaran itu mencukupi untuk menampung keperluan pengguna jalan raya dengan mengambil kira jumlah trafik, pola perjalanan pengguna terutama ketika musim perayaan dan jarak antara kemudahan sedia ada.
"Selain R&R yang dinyatakan, LTU dan KBKK juga mempunyai susur keluar dan masuk melibatkan bandar utama di Pahang dan Kelantan.
"Pengguna mempunyai pilihan untuk rehat dan rawat di sepanjang laluan FT08 sedia ada khususnya ketika waktu puncak dan musim perayaan utama, secara tidak langsung dapat meningkatkan sosioekonomi setempat,” katanya.
Sementara itu, beliau berkata, status kemajuan keseluruhan projek LTU telah mencapai 66 peratus, manakala pembinaan KBKK 49 peratus. - Bernama