Glasgow sah tuan rumah Sukan Komanwel 2026

Iklan
CGF mengesahkan Glasgow sebagai bandar tuan rumah Sukan Komanwel 2026 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos. Foto hiasan

PERSEKUTUAN Sukan Komanwel (CGF) mengesahkan Glasgow sebagai bandar tuan rumah Sukan Komanwel 2026 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, sekali gus menganjurkan temasya itu buat kali kedua selepas 2014.

CGF dalam kenyataan pada Selasa memaklumkan hanya 10 sukan akan dipertandingkan pada edisi kali ini di empat venue sekitar radius 12.8 kilometer (km) berbanding 19 sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England.

Iklan
Iklan

"Acara sukan yang akan dipertandingkan adalah olahraga dan olahraga para, renang dan renang para, gimnastik artistik, berbasikal trek dan berbasikal trek para, bola jaring, angkat berat dan powerlifting para, tinju, judo, boling dan boling para, bola keranjang 3x3 dan bola keranjang kerusi roda 3x3.

"Empat venue pula melibatkan Stadium Scotstoun, Pusat Renang Antarabangsa Tollcross, Arena Emirates termasuk Velodrom Sir Chris Hoy, dan Scottish Event Campus (SEC),” menurut kenyataan itu.

Iklan

Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif CGF Katie Sadleir berkata mereka berbesar hati untuk mengesahkan temasya berkenaan akan diadakan di Glasgow.

Victoria di Australia sepatutnya menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026, tetapi menarik diri pada Julai tahun lepas ekoran peningkatan kos penganjuran, daripada jangkaan awal A$2.6 bilion (kira-kira RM8.09 bilion) kepada A$7 bilion (kira-kira RM21.78 bilion).

Iklan

CGF menawarkan suntikan dana sebanyak £100 juta (RM602 juta) kepada Malaysia, yang menjadi tuan rumah Sukan itu pada 1998, dan negara anggota lain untuk menjadi tuan rumah, sekali gus menyelamatkan temasya sukan yang diadakan setiap empat tahun sekali itu.

Bagaimanapun Mac lepas Malaysia menolak tawaran CGF untuk menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2026 selepas menimbangkan semua aspek penganjuran, termasuk implikasinya. - Bernama