KUALA LUMPUR - Seorang ahli Parlimen kerajaan mencadangkan had pendapatan golongan maha kaya (T15) yang dikecualikan daripada mendapat subsidi bersasar RON95 ditetapkan pada RM15,000 sebulan.
Ahli Parlimen Bagan, Lim Guan Eng berkata, jumlah yang ditetapkan itu perlu mencerminkan upah hidup rakyat secara inklusif.
"Dalam kerangka menentukan had isi rumah golongan T15 untuk program subsidi petrol RON95 ia harus mencerminkan upah hidup rakyat.
"Ia juga seharusnya ditetapkan secara inklusif dalam lingkungan RM15,000 sebulan.
"Saya juga ingin meminta Kementerian Kewangan untuk dedahkan butiran setiap cukai yang dicadangkan kali ini (dalam Belanjawan 2025) supaya kita dapat gambaran percukaian yang lebih komprehensif," katanya.
Beliau berkata demikian ketika sesi Perbahasan Peringkat Dasar Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat di sini pada Selasa.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 pada Jumaat lalu mengumumkan beberapa subsidi untuk golongan T15 dikurangkan.
Sementara itu, Guan Eng yang juga bekas Menteri Kewangan turut mempertahankan belanjawan yang diumumkan Ahli Parlimen Tambun bukan pelan 'Robin Hood' seperti didakwa.
"Ada pihak tertentu yang tidak bertanggungjawab cuba menggambarkan belanjawan ini sebagai Robin Hood yang merompak daripada yang kaya untuk diberikan kepada yang miskin.
"Jauh sekali Belanjawan 2025 bersifat Robin Hood hanya kerana beberapa ayat Perdana Menteri yang diambil di luar konteks dalam hala tuju ekonomi yang digariskan," katanya.
Beliau menambah, negara tidak boleh maju tanpa menggembelengkan seluruh tenaga dan sumbangan rakyat semua golongan.
ends