PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa bangga atas pencapaian tujuh wira negara yang telah mengharumkan nama Malaysia di temasya Sukan Olimpik dan Paralimpik Paris 2024.
Anwar menerusi hantaran di Facebook beliau hari ini memaklumkan, beliau berkesempatan berjumpa tujuh wira itu iaitu Lee Zi Jia, Aaron Chia, Soh Wooi Yik, Cheah Liek Hou, Bonnie Bunyau Anak Gustin, Muhammad Ziyad Zolkefli dan Eddy Bernard yang telah memenangi pingat di Paris dalam acara sukan masing-masing, sebelum meninggalkan Parlimen hari ini.
"Saya berbangga dengan pencapaian hebat ini dan terkesan mendengar pengalaman mereka yang bermula di bangku sekolah dan gigih berusaha memecahkan tembok-tembok halangan untuk bergelar atlet bertaraf dunia serta menyatukan rakyat Malaysia dengan kejayaan kalian,” katanya.
Anwar juga menzahirkan rasa kagum selepas mendengar perkongsian pengalaman Wooi Yik yang sanggup menahan sakit akibat jari kakinya retak dan membengkak selama 74 minit sepanjang perlawanan penentuan pingat gangsa di Paris.
"Terima kasih atas kekentalan jiwa dan pengorbanan ini demi memastikan bendera Malaysia berkibar di Paris,” katanya.
Menurut hantaran berkenaan, Perdana Menteri pada pertemuan itu turut menzahirkan iltizam kerajaan untuk terus memperhebat pembangunan sukan negara khususnya menerusi peruntukkan lebih RM230 juta dalam Belanjawan 2025.
Peruntukan itu antaranya untuk program podium, latihan atlet dan Road to Gold; persiapan atlet para menjelang sukan para dunia termasuk Deaflympic Tokyo 2025.
Anwar berkata, peruntukan itu juga adalah untuk kerja-kerja menyelenggara dan membaiki kemudahan belia dan sukan seluruh negara; serta geran padanan sukan sebagai galakan penganjuran pertandingan sukan oleh persatuan dan pertubuhan bukan kerajaan. - Bernama