PUTRAJAYA - Semakan Daftar Pemilih Tambahan Bulan September Tahun 2024 (DPT BLN9/2024) boleh dibuat untuk tempoh 30 hari bermula hari ini hingga 20 November depan, kata Setiausaha Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Ikmalrudin Ishak.
Beliau berkata, DPT BLN9/2024 yang diperaku dan diwartakan hari ini, mengandungi 42,479 nama warganegara berumur 18 tahun dan ke atas, dalam tempoh 1 hingga 30 September 2024 yang didaftarkan secara automatik sebagai pemilih baharu.
Selain itu ia mengandungi 8,172 pemilih berdaftar yang bertukar bahagian pilihan raya dan 2,031 pemilih bertukar status atau kategori pengundi.
"SPR menyeru warganegara berumur 18 tahun dan ke atas dalam tempoh 1 hingga 30 Sept 2024 dan mana-mana pemilih berdaftar yang telah memohon pertukaran bahagian pilihan raya atau pertukaran status untuk menyemak nama mereka dalam DPT BLN9/2024,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ikmalrudin berkata, SPR menyediakan lima kaedah semakan iaitu melalui portal SPR di pautan https://www.spr.gov.my atau https://mysprsemak.spr.gov.my, portal rasmi Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my.
Kaedah lain termasuk aplikasi mudah alih MySPR Semak dan talian Semakan Pendaftaran Pemilih di talian 03-8892 7218.
Selain itu Ikmalrudin berkata, sekiranya pemilih mendapati nama mereka tidak disenaraikan dalam DPT BLN9/2024, tuntutan boleh dibuat dengan mengisi Borang C melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Pemilih berdaftar di sesuatu bahagian pilihan raya yang berhasrat membuat bantahan ke atas kemasukan nama pemilih yang membuat pertukaran ke bahagian pilihan raya, perlu mengisi Borang D melalui aplikasi dalam talian di pautan https://myspr.spr.gov.my atau hadir ke Pejabat Pilihan Raya Negeri yang berkenaan.
Borang C dan Borang D juga boleh dimuat turun daripada portal Pejabat-Pejabat Pilihan Raya Negeri di pautan http://ppn.spr.gov.my dan perlu dikemukakan kepada Pengarah Pilihan Raya Negeri berkenaan untuk membuat serahan dan membayar fi bantahan pada waktu pejabat hari bekerja sepanjang tempoh semakan DPT BLN9/2024. - Bernama