'Tiada lagi masakan mak yang sedap-sedap'

Iklan
Ismail Sabri (dua dari kanan) ketika menyantuni Ranjini (kiri) bersama keluarganya pada Selasa.

SEREMBAN -"Saya rindu nak makan tosei mak sebab tosei mak paling sedap," luah anak sulung daripada empat beradik, M Ranjini, 17, yang kehilangan ibunya, G Tamilselvi akibat Covid-19 tiga tahun lalu.

Menurut Ranjini, selepas ibunya meninggal dunia, dia bersama tiga adiknya, Sumen Raj, 15, Kishor Raj, 14, dan Bhuvana, 10, terpaksa menumpang teduh di rumah datuknya, S Gunasigaram, 61, yang uzur dan tidak bekerja di Taman Bukit Mutiara di sini.

Iklan
Iklan

"Saya tidak pernah menjangka kehilangan mak secepat itu sekali gus menyebabkan kami menjadi anak yatim di usia masih muda. Tiada lagi air tangan, masakan mak yang sedap-sedap.

"Kami juga terputus hubungan dengan bapa kandung sejak sembilan tahun lalu selain bergantung ihsan dengan ibu saudara yang banyak membantu kami empat beradik," katanya kepada pemberita ketika ditemui di rumah datuknya di Taman Bukit Mutiara di sini pada Selasa.

Iklan

Ismail Sabri (kanan) turut menyampaikan sumbangan kepada keluarga tersebut.

Memahami kesedihan dan kekurangan hidup anak yatim Covid-19 ini, Pengerusi Yayasan Keluarga Malaysia (YKM), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, YKM memperuntukkan sebanyak RM10,900 setahun bagi meringankan beban empat beradik yatim itu.

Iklan

"Mereka berhadapan dengan dugaan yang cukup besar untuk meneruskan kelangsungan hidup. Situasi ini pasti akan memberikan kesan jangka panjang kepada anak-anak ini jika kita tidak memberikan perhatian yang serius kepada masa depan mereka.

"Kita tidak boleh menutup mata atau mengabaikan nasib anak yatim dan yatim piatu Covid-19 seperti ini yang berada di sekeliling kita,” katanya yang menyantuni empat beradik itu.

Tambah beliau, selain Ranjini dan adik-adiknya, YKM turut memberikan sumbangan kepada sembilan lagi keluarga Covid-19 yang merayakan sambutan Deepavali.

"Sembilan keluarga tersebut terdiri daripada lima keluarga di Selangor, dua di Negeri Sembilan dan dua keluarga lagi di Melaka dan Pahang akan menerima sumbangan serupa pada hari ini serta akan dikreditkan ke akaun masing-masing," katanya.

Dalam pada itu, Ahli Parlimen Bera itu memberitahu, YKM sedang meneliti bantuan kepada anak yatim atau yatim piatu, yang kehilangan ibu bapa mereka akibat kemalangan, dan melihat keperluan untuk membantu mereka pada masa akan datang.

Sebagai rekod, YKM yang ditubuhkan pada 2021 memperuntukkan sebanyak RM5 juta setahun untuk membantu hampir 1,000 anak yatim dan yatim piatu merentasi agama dan bangsa melalui Bantuan Kasih YKM, Bantuan Persekolahan, Bantuan Menara Gading dan Hadiah Kecemerlangan SPM serta pengurusan.

Pada masa sama, YKM kini sedang melaksanakan pemutihan data bagi mengemaskini maklumat diri dan keluarga melalui borang yang telah dihantar menerusi emel dan aplikasi WhatsApp.