JDT tumbang di Yongin

Iklan
Feroz melakukan percubaan ke gawang Gwangju dalam aksi ACLE Zon Timur di Stadium Yongin Mireu pada Selasa. Foto JOHOR Southern Tigers

JOHOR Darul Ta’zim (JDT) mencatat kekalahan pertama saingan Liga Juara-Juara Asia Elit (ACLE) Zon Timur apabila dijinakkan kelab Korea Selatan, Gwangju FC, 1-3 dalam perlawanan di Stadium Yongin Mireu pada Selasa.

Harimau Selatan kendalian Hector Bidoglio sebelum ini membuka gelanggang ACLE dengan keputusan seri 2-2 ketika bertandang ke Stadium Bolasepak Pudong, menentang jaguh China, Shanghai Port sebelum menang bergaya 3-0 ke atas Shanghai Shenhua.

Iklan
Iklan

Sebagai rekod, aksi Gwangju asuhan Lee Jung-hyo menentang JDT diubah ke venue lain selepas keadaan padang di Stadium Bolasepak Gwangju tidak sesuai untuk perlawanan kejuaraan utama ACLE berkenaan.

Bagi memastikan perlawanan kekal berlangsung mengikut aturan, Gwangju mengharungi perjalanan sejauh 234 kilometer (km) ke Stadium Yongin Mireu bagi membolehkan menjadi tuan rumah bagi aksi tersebut.

Iklan

Pemain sayap Jasir Fadil Asani kelahiran Macedonia terlebih dulu meletakkan Gwangju di depan selepas memanfaatkan peluang dicipta Oh Hoo-sung pada minit ketiga.

Jasir Fadil Asani yang menyarung jersi Albania sejak 2023 seakan tidak berpuas hati kemudian melebarkan jaringan dengan gol minit keenam.

Iklan

Harimau Selatan yang tersentak dengan dua jaringan awal itu kembali memperkemaskan permainan mula memburu jaringan.

Usaha tidak mengenal jemu Harimau Selatan akhirnya diterjemahkan dengan gol yang dijelmakan Feroz Baharudin selepas menyudahkan sentuhan Juan Muniz minit ke-28.

Bagaimanapun usaha Harimau Selatan untuk sekurang-kurangnya membawa pulang satu mata tidak kesampaian apabila gawang pasukan pelawat bolos hasil jaringan sendiri pemain pertahanan dari Korea Selatan, Park Jun-heong minit ke-88.

JDT selepas ini akan menanti satu lagi kelab Korea Selatan, Ulsan HD FC kendalian bekas pengendali Harimau Malaya, Kim Pan-gon pada 5 November depan.

Namun sebelum itu JDT dijadualkan berdepan Selangor FC dalam aksi Liga Super di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya pada 27 Oktober.

Anak buah Bidoglio kemudian akan berkunjung ke Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi menentang Negeri Sembilan FC, pada 1 November.