Provokasi guna anjing, polis buka dua kertas siasatan

Iklan
Tangkap layar video tular memaparkan tindakan seorang lelaki tempatan membawa anjing peliharaannya masuk ke Kompleks PKNS, Shah Alam, Selangor sebagai provokasi akibat tidak dilayan oleh peniaga emas di situ.

SHAH ALAM - Polis membuka dua kertas siasatan berhubung tindakan seorang lelaki tempatan melakukan provokasi dan cuba membawa masuk anjing peliharaannya ke dalam Kompleks PKNS di sini.

Ketua Polis Daerah Shah Alam, Asisten Komisioner Mohd Iqbal Ibrahim berkata, pihaknya mengesan video tular kejadian lelaki tempatan membuat kecoh di pekarangan kompleks tersebut.

Iklan
Iklan

Beliau berkata, pihaknya menerima tiga laporan polis pada Khamis yang dibuat oleh suspek berusia 52 tahun dan dua saksi lain yang berada di tempat kejadian.

"Hasil siasatan mendapati suspek telah mengikat seekor anjing peliharaannya di luar bangunan Kompleks PKNS Shah Alam dan kemudian pergi ke sebuah kedai emas di dalam kompleks itu untuk membeli emas seberat satu kilogram.

Iklan

"Berang akibat tidak dilayan, suspek telah memarahi pekerja kedai emas dengan mengeluarkan kata-kata kesat sehingga berlaku kekecohan," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Mohd Iqbal berkata, orang ramai yang berada di kedai emas tersebut telah bertindak membantu menenteramkan suspek dan berlaku pergelutan.

Iklan

Menurut beliau, pengawal keselamatan Kompleks PKNS telah meleraikan keadaan dan membawa suspek keluar dari bangunan.

Namun begitu katanya, suspek telah membuat provokasi dan cuba untuk membawa masuk anjing peliharaan ke dalam bangunan, tetapi tidak berjaya dan telah dihalang oleh pengawal keselamatan bertugas.

Berhubung insiden itu, kata beliau, pihak polis telah membuka dua kertas siasatan di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan Seksyen 290 Kanun Keseksaan/ Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955/ Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia.

"Laporan polis yang dibuat oleh suspek disiasat di bawah Seksyen 323 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara setahun atau denda tidak melebihi RM2,000 jika sabit kesalahan.

"Manakala siasatan berkaitan laporan polis dibuat oleh saksi kejadian dijalankan di bawah Seksyen 290 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan denda sehingga RM400.

"Selain itu, Seksyen 14 Akta Kesalahan Kecil 1955 memperuntukkan denda sehingga RM100 dan juga Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia memperuntukkan penjara setahun atau denda sehingga RM50,000 jika didapati bersalah," ujarnya.

Tambahnya, mana-mana individu yang mempunyai maklumat lanjut mengenai kejadian itu boleh berhubung dengan pegawai penyiasat, Inspektor Nor Sabryna Mohammad Taha di talian 014-5130450 dan penolong penyiasat, Sarjan Rustam Eliah di talian 019-6148034.