KOTA BHARU - Seorang pelajar Kolej Vokasional Bachok maut dalam kemalangan membabitkan sebuah motosikal dan sebuah kereta di persimpangan lampu isyarat Pasir Tumbuh di sini malam semalam.
Mangsa, Nur Qistina Batrisya Mohd Asri, 17, yang menunggang motosikal Honda EX5 meninggal dunia di lokasi kejadian akibat kecederaan di kepala manakala pembantu katering berusia 26 tahun yang memandu kereta Perodua Myvi pula cedera di tangan kanan.
Iklan
Iklan
Ketua Polis Daerah Kota Bharu, Asisten Komisioner Abdul Rahim Daud berkata, pihaknya menerima panggilan pada jam 7.55 malam dan hasil siasatan awal mendapati kemalangan dipercayai berpunca daripada motosikal yang membelok ke kanan jalan dalam jarak hampir dengan kenderaan lain.
"Pelajar berkenaan yang memakai topi keledar dikatakan menunggang dari arah Kampung Chicha menghala ke Wakaf Che Yeh dan setibanya di persimpangan lampu isyarat Pasir Tumbuh, dia membelok ke kanan menghala ke laluan pulang ke rumahnya.
"Pemandu kereta yang datang dari arah bertentangan melanggar motosikal itu di bahagian kiri menyebabkannya memasuki laluan bertentangan sebelum terbabas di bahu jalan sebelah kanan dari arah Peringat menghala ke Kota Bharu,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian di sini hari ini.
Menurutnya, mangsa disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh Pegawai Perubatan Hospital Universiti Sains Malaysia (HUSM) Kubang Kerian manakala pemandu kereta yang cedera dibawa ke HUSM Kubang Kerian untuk rawatan lanjut.
Artikel Berkaitan