Usah layan usaha untuk iktiraf UEC - GPMS Pulau Pinang

Iklan
Mohamad Harith

GEORGE TOWN - Sebarang cadangan dan usaha untuk mengiktiraf Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) tidak boleh dilayan kerana ia akan memberi kesan negatif kepada usaha kerajaan memperkasakan bahasa Melayu serta mengekalkan identiti nasional yang kukuh.

Ketua Penerangan Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pulau Pinang, Mohamad Harith Azizi menegaskan langkah untuk mengiktiraf UEC jelas bertentangan dengan semangat dan prinsip asas Dasar Pendidikan Kebangsaan.

Iklan
Iklan

Menurutnya, usaha ini tidak hanya mengundang polemik tetapi juga melanggar peruntukan-peruntukan penting di dalam Perlembagaan Persekutuan dan Akta Pendidikan 1996 yang mengutamakan bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan dan bahasa pengantar dalam sistem pendidikan.

"Di bawah Perkara 152 Perlembagaan Persekutuan, kedudukan Bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan adalah jelas dan tidak boleh diganggu gugat.

Iklan

"Tindakan ini bukan sahaja tidak sesuai, malah bertentangan dengan aspirasi perpaduan nasional," katanya menerusi kenyataan di sini, pada Selasa.

Mengulas lanjut, Mohamad Harith berkata, dalam Akta Pendidikan 1996 (Akta 550) memperkukuh kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar utama di sekolah-sekolah kebangsaan, di mana semua kurikulum mestilah diselaraskan untuk memastikan perpaduan serta pemahaman budaya nasional yang sama.

Iklan

Beliau berkata, pengiktirafan UEC akan membawa kepada pemisahan dan penciptaan dua sistem pendidikan yang berbeza, yang mana ini bertentangan dengan objektif akta tersebut untuk menyatukan rakyat Malaysia melalui pendidikan yang seragam dan inklusif.

Justeru, beliau menyeru semua pihak, terutamanya Kerajaan Perpaduan untuk mempertahankan dasar-dasar pendidikan yang berpaksikan kebangsaan dan tidak tunduk kepada desakan yang hanya akan merosakkan asas perpaduan negara.

"GPMS Negeri Pulau Pinang mendesak Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) untuk segera mengkaji semula dan menolak sebarang usaha mengiktiraf UEC demi kepentingan negara secara keseluruhannya.

"Kita perlu mempertahankan dasar pendidikan kebangsaan yang berteraskan bahasa Melayu dan memastikan tiada ruang untuk perpecahan dalam sistem pendidikan kita," ujarnya.