Penyasaran subsidi bahan api sukar dilakukan - Penganalisis

Iklan
Malaysia perlu memikirkan usaha untuk mengenakan cukai jualan pada bahan api yang dibeli warga asing kerana harga tanpa subsidi di negara ini masih lebih murah.

SHAH ALAM - Penyasaran subsidi bahan api merupakan sesuatu yang sukar dilakukan dan jarang dilaksanakan banyak negara kerana proses pemantauan serta pembahagian kompleks melibatkan jutaan pengguna.

Penganalisis industri automotif, Hezeri Samsuri berkata, kebiasaannya subsidi bahan api khusus untuk industri dan pengangkutan awam sahaja.

Iklan
Iklan

Menurutnya, subsidi bersasar bahan api juga akan menelan belanja yang besar dari segi pemantauan dan operasi penjagaan data.

"Jumlah kos yang terlibat perlu dikongsi bersama kerana rakyat perlu sedar ada harga yang terlibat dan adakah ia seimbang dengan biaya subsidi diberikan.

Iklan

"Pengguna petrol jauh lebih ramai berbanding diesel dan ini bermakna operasi subsidi diesel yang dilaksanakan sekarang tidak menjamin kelancaran operasi nanti," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan bersedia berdepan reaksi awam berhubung komitmennya untuk menarik semula subsidi petrol mulai pertengahan 2025.

Iklan

Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli berkata, kerajaan sedang mempertimbangkan sistem dua harga supaya 15 peratus golongan maha kaya (T15) dapat membayar kadar pasaran untuk petrol RON95 manakala yang lain mengikuti harga subsidi semasa.

Mengulas lanjut, Hezeri berkata, di Indonesia, bahan api petrol Pertalite diberikan subsidi tetapi khusus untuk motosikal di bawah 250cc dan kenderaan empat roda 1,400cc ke bawah sahaja.

Ujarnya, untuk kenderaan empat roda lain seperti kenderaan serba guna (MPV), kenderaan utiliti sukan (SUV) dan sebagainya, pemilik perlu ada kod bar tersendiri untuk membuktikan kelayakan mereka.

"Ini kerana bagi mengelakkan mereka yang berpendapatan tinggi daripada terus menggunakan bahan api bersubsidi.

"Di Indonesia juga hanya satu syarikat petroleum dibenarkan menjual Pertalite menyebabkan pengguna beratur panjang untuk mengisi bahan api bersubsidi," katanya.

Menurut Hezeri, pengguna yang tidak sanggup menunggu lama akan mengisi bahan api gred lain-lain tidak bersubsidi.

Ujarnya, bahan api bersubsidi iaitu Pertalite RON90 di Indonesia juga lebih mahal berbanding petrol RON95 di negara ini.

"Kita boleh menurut cara yang dilakukan Indonesia tetapi kerajaan perlu bersedia dengan rungutan pengguna dan wajar memastikan stesen menjual bahan api bersubsidi itu wujud di semua tempat," katanya.

Tambah beliau, sistem data subsidi juga perlu telus dan mudah dipantau kerana apabila pengguna pada mulanya layak menerima subsidi tetapi kemudian perlu disekat sekiranya melebihi kelayakan.

Jelasnya, begitu juga jika seseorang individu itu sudah termasuk ke dalam julat layak menerima subsidi, kebenaran perlu diberikan segera agar mereka boleh membeli bahan api bersubsidi.

"Kerajaan mempunyai masa yang cukup untuk bersedia agar masalah seperti Permit Masuk Kenderaan (VEP) tidak berulang seperti VEP gagal beroperasi menurut tempoh masa yang diberikan.

"Cara Indonesia memang nampak tidak efisien dan tidak begitu cekap tetapi ia berkesan untuk negara mereka," ujar Hezeri.

Dalam pada itu, kata beliau, Malaysia juga perlu memikirkan usaha untuk mengenakan cukai jualan pada bahan api yang dibeli warga asing kerana harga tanpa subsidi di negara ini masih lebih murah.

Di samping itu, menurutnya, penjimatan daripada subsidi bahan api patut segera dilihat rakyat Malaysia kerana ia akan mengurangkan keresahan dan kemarahan pengguna tempatan.

"Sistem dua harga memang akan merumitkan lagi operator stesen minyak lebih-lebih lagi jika kaedah itu tidak wujud dalam pasaran dunia kerana semua stesen menggunakan sistem global.

"Jika melibatkan perkakasan, ia lebih merumitkan kerana kos dan pemasangan alat," katanya.