SELANGOR FC bakal melayan kunjungan kelab berprofil tinggi Korea Selatan, Jeonbuk Hyundai Motors dalam aksi Liga Juara-Juara Asia 2 (ACL2) di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) tanpa tiga tonggak utama.
Pengendali Selangor FC, Nidzam Jamil ketika mengesahkan perkembangan itu berkata, The Red Giants terpaksa melupakan khidmat pemain import dari Jordan, Noor Al-Rawabdeh untuk tempoh sembilan bulan akibat kecederaan ligament anterior cruciate (ACL).
Selain itu jelas Nidzam lagi, Red Giants juga kehilangan khidmat kapten pasukan berpengaruh Safuwan Baharudin selain Mukhairi Ajmal yang masih belum sembuh untuk perlawanan berkenaan.
"Sesuatu yang amat menyedihkan apabila kita akan kehilangan khidmat Noor Al Rawabdeh untuk tempoh sembilan bulan.
"Bagaimanapun pasukan masih memiliki beberapa pemain yang berada dalam penilaian terakhir untuk kita melihat mereka bersedia atau sebaliknya diturunkan dalam perlawanan menentang Jeonbuk,” katanya pada sidang media pra perlawanan Kumpulan H ACL2 di MBPJ pada Selasa.
Selangor membuka gelanggang ACL 2 dengan mengikat kelab liga Thailand, Muangthong United 1-1 di Bangkok sebelum menang tipis 1-0 ke atas gergasi Filipina, Dynamic Herb Cebu FC di Petaling Jaya.
Pada masa sama Nidzam juga memaklumkan status terkini seorang lagi pemain lincah Red Gaints, Alvin Fortes yang masih belum dapat dipastikan khidmatnya berdepan pendahulu Kumpulan H berkenaan.
"Ya, Fortes masih memerlukan pelepasan daripada doktor pasukan sebab selepas ini kita akan berdepan dengan JDT (Johor Darul Ta'zim).
"Dan sekali lagi keutamaan saya adalah berkenaan kesihatan pemain-pemain. Sekiranya doktor pasukan benarkan dia bermain kita akan senaraikannya,” katanya.