'Sebagai vendor, saya perlu jujur'

Iklan
Setiap hari Sha akan mempromosikan kuih yang dihantar di media sosial. Lampiran kanan: Luahan yang dikongsi oleh Sha di satu kumpulan komuniti di Facebook

KOTA BHARU - Seorang vendor makanan di Kampung Berangan, Tumpat meletakkan kejujuran sebagai keutamaan dalam perniagaan bagi memastikan pelanggan dan pembuat kuih berpuas hati.

Menurut peniaga berkenaan, Siti Aingshah Mohd Razali, 33, sebagai vendor, dia tidak boleh terus mengaku bahawa lebih 20 jenis kuih yang dijual itu enak untuk dinikmati.

Iklan
Iklan

Siti Aingshah atau lebih mesra sebagai Sha memberitahu, kesemua kuih-muih itu dihantar oleh pembuat kuih atau sekitar Tumpat termasuk Wakaf Bharu, Berangan dan Morak.

"Saya sebagai orang tengah antara pembuat kuih dan pelanggan mahu memastikan kedua-dua pihak berpuas hati terutama pembeli berasakan berbaloi dengan wang dikeluarkan," katanya.

Iklan

Sebelum itu, Sha berkongsi luahannya melalui satu kumpulan komuniti di Facebook mengenai pembuat kuih yang tidak berpuas hati kerana dia tidak mempromosikan kuih yang dihantar.

"Kat kedai ni ada bermacam-macam jenis kuih... Sha promote satu persatu.

Iklan

Yang mana Sha tak cuba makan lagi, Sha tak boleh promote..menipu namanya tu," kongsi Sha di Facebooknya.

Perkongsian itu mendapat pujian netizen yang bersetuju dengan cara itu kerana ada pembuat kuih hanya sambil lewa dan tidak serius menyediakan makanan untuk dijual.

Sha juga memberitahu, selama lebih dua tahun sebagai vendor kuih, ada pelanggan menegur kuih yang dijual kurang memuaskan dari aspek rasa atau bungkusannya.

Sha menyediakan nasi bajet yang dijual di gerainya.

"Biasanya saya akan memberitahu pembuat kuih dan ada yang menerima dengan hati terbuka serta terus membuat perubahan.

"Saya juga selalu mengingatkan bahawa kuih-muih itu dijual kepada pelanggan yang sentiasa mahu makanan enak dan bukan untuk dinikmati sendiri," katanya kepada Sinar Harian pada Isnin.

Jelas Sha lagi, jika pembuat kuih sedia melakukan perubahan, dia tidak segan mempromosikannya sehingga ada pelanggan membuat tempahan khusus untuk kenduri.

"Saya perlu jujur kepada pelanggan untuk berkongsi rezeki. Setiap hari ada yang bertanya mengenai keenakan kuih yang dijual.

"Jika belum mencubanya, saya akan akan maklumkan dan terpulang kepada pelanggan," katanya.

Tambah ibu kepada tiga anak berusia enam hingga 11 tahun ini, kuih tradisional yang mendapat sambutan pelanggan seperti seri muka, lompat tikam dan katun manakala

kuih moden pula ialah kuih lapis, kaswi gedik, kek coklat dan roti bawang putih.

Sha yang memulakan perniagaan bersama suami, Mohd Anas Abdullah, 37, pada jam 7 pagi menjual kuih antara harga RM2 hingga RM3 dan biasanya habis sebelum jam 1 petang.

Dalam pada itu, wanita itu turut menerima tempahan roti jala sejak lebih 10 tahun lalu selain nasi bajet berlauk ayam.