Tuntutan subsidi diesel berkurang 51.6 peratus pada Ogos

Iklan
Amaun tuntutan subsidi diesel oleh syarikat minyak bagi bulan Ogos 2024 telah berkurang sebanyak 51.6 peratus berbanding amaun tuntutan bagi bulan Mei 2024.

KUALA LUMPUR - Amaun tuntutan subsidi diesel oleh syarikat minyak bagi bulan Ogos 2024 telah berkurang sebanyak 51.6 peratus berbanding amaun tuntutan bagi bulan Mei 2024, sejak pelaksanaan penyasaran subsidi diesel mulai 10 Jun 2024, kata Kementerian Ekonomi.

Kementerian itu berkata, kuantiti tuntutan juga telah menurun sebanyak 47.4 peratus dalam tempoh yang sama.

Iklan
Iklan

"Mulai tahun ini kerajaan akan melaksanakan penyasaran semula subsidi secara berfasa bagi membendung ketirisan yang menyebabkan kerugian berbilion ringgit kepada negara.

"Melalui pelaksanaan penyasaran subsidi diesel ini, kerajaan menganggarkan penjimatan perbelanjaan mengurus sebanyak RM4 bilion setahun,” kata kementerian itu dalam jawapan bertulis yang disiarkan di laman sesawang Parlimen.

Iklan

Kementerian Ekonomi berkata, setelah penyasaran semula subsidi dilaksanakan bagi ayam dan bil elektrik, kerajaan telah melaksanakan penyasaran subsidi diesel yang mensasarkan 23 jenis kenderaan pengangkutan barangan darat melalui Sistem Kawalan Diesel Bersubsidi (SKDS 2.0) dengan menggunakan kaedah"fleet card”.

"Melalui kaedah ini, syarikat logistik yang diluluskan layak untuk mendapat bekalan diesel di stesen minyak pada harga RM2.15 seliter.

Iklan

"Kenderaan pengangkutan awam darat termasuk bas sekolah, bas ekspres, bas henti-henti, ambulan dan bomba sukarela masih menikmati harga super subsidi pada RM1.88 seliter dan sektor nelayan pada RM1.65 seliter,” katanya.

Serentak dengan pelaksanaan langkah tersebut, kerajaan juga telah melancarkan program BUDI MADANI Individu dan BUDI MADANI Agri-Komoditi iaitu pemberian bantuan tunai sebanyak RM200 sebulan kepada pemilik kenderaan diesel persendirian yang layak termasuk petani kecil dan pekebun kecil komoditi.

"Bantuan tunai secara bulanan ini dapat mengimbangi kesan kenaikan harga diesel tanpa menjejaskan pendapatan boleh guna kumpulan sasar,” katanya. - Bernama