SHAH ALAM - Pihak berwajib digesa mengenakan tindakan penjara atau penalti yang tinggi kepada pengusaha Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) menaikkan harga barang sekiranya penyasaran subsidi petrol RON95 dilaksanakan.
Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Indrani Thuraisingham berkata, kebiasaan golongan itu hanya dikenakan kompaun dan ia dilihat tidak berkesan.
Menurutnya, Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) perlu membuat kawal selia yang ketat melalui Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan (AKHAP) 2011 bagi membanteras kegiatan tersebut.
"Jika pelarasan subsidi RON 95 ini berlaku pasti peniaga-peniaga akan menaikkan harga terutamanya PKS.
Beliau berkata demikian dalam Wacana Sinar edisi 462 bertajuk Belanjawan 205: Tercapaikah Siling, Terangkatkah Lantai? yang berlangsung di Kompleks Kumpulan Karangkraf, Seksyen 15 pada Selasa.
Program yang dihoskan Ismail Adnan itu turut menampilkan dua panelis lain iaitu Ahli Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen (JKPK) Kewangan & Ekonomi Parlimen Malaysia juga Ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse dan Pengarah Program MBA Putra Business School, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff.
Dalam pada itu, tambah Indrani, pengguna wajar bertanggungjawab membuat laporan kepada pihak KPDN menerusi sembilan saluran untuk tindakan selanjutnya kepada peniaga.
"Boleh juga buat aduan kepada kami di Pusat Khidmat Aduan Pengguna Nasional (NCCC), Fomca bagi tindakan susulan," katanya.
Sementara itu, tegas beliau, kerajaan perlu meningkatkan sesi libat urus dalam pengurusan hutang kepada pengguna.
Ujarnya, pendidikan pengurusan hutang penting kepada masyarakat agar tidak terjerumus terutamanya yang banyak ditawarkan di platform adalam talian.
"Ada yang menawarkan sehingga RM20,000 hingga RM50,000. Manakah silingnya? Pengguna akan sewenang-wenangnya masuk konsep begitu dan berhutang," katanya.