JKDM nafi KP campur tangan kes seludup kenderaan mewah di Sarawak

Iklan
JKDM menafikan Anis Rizana telah campur tangan dalam penahanan dan siasatan terhadap sindiket penyeludupan kenderaan mewah di Sarawak.

PUTRAJAYA - Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menafikan Ketua Pengarah Kastam (KPK), Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin telah campur tangan dalam penahanan dan siasatan terhadap sindiket penyeludupan kenderaan mewah di Sarawak.

Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan), Ribuan Abdullah menegaskan bahawa, Bahagian XII Akta Kastam 1967 menjamin hak untuk Pegawai Penguatkuasaan JKDM untuk menjalankan tugas tanpa sebarang campur tangan mana-mana pihak, termasuk di peringkat negeri yang diterajui oleh Pengarah Kastam Negeri.

Iklan
Iklan

"Sehubungan dengan itu, JKDM menafikan penglibatan KPK dalam penahanan atau siasatan kenderaan-kenderaan yang disita, kerana perkara ini jelas di bawah bidang tugas Bahagian Penguatkuasaan yang diterajui oleh Pengarah Kastam Negeri Sarawak.

"KDM juga ingin menegaskan bahawa KPK tidak pernah campur tangan dalam urusan atau aktiviti penguatkuasaan dan penahanan kenderaan-kenderaan tersebut,” katanya dalam kenyataan pada Selasa.

Iklan

Beliau berkata demikian bagi menafikan dakwaan yang tular media sosial menerusi satu hantaran yang menuduh Anis Rizana memberi layanan istimewa kepada sindiket yang terlibat dalam kes rampasan 10 kenderaan mewah pelbagai jenama dianggarkan bernilai lebih RM8.12 juta oleh JKDM Sarawak.

Ribuan berkata, satu laporan polis telah dibuat berhubung dakwaan tersebut bagi menjaga nama baik Anis Rizana dan JKDM.

Iklan

Beliau bekata, akta tersebut memberi kuasa kepada pegawai kastam untuk menyita apa-apa barang sekiranya terdapat sebab yang munasabah untuk mengesyaki berlakunya kesalahan di bawah akta tersebut atau peraturan-peraturannya.

"Keputusan untuk meneruskan sesuatu tindakan sama ada pendakwaan atau melepaskan kenderaan kenderaan tersebut, tertakluk kepada kuasa Pendakwa Raya di bawah Seksyen 379 Kanun Acara Jenayah,” katanya.

Sementara itu, Ribuan berkata, JKDM Sarawak telah menahan sebanyak 56 kenderaan untuk siasatan, yang melibatkan hasil berjumlah RM11.7 juta bagi tempoh Januari hingga September tahun ini.

Tambahnya, menunjukkan peningkatan sebanyak 115.4 peratus bagi jumlah unit kenderaan dan peningkatan sebanyak 192.5 peratus bagi jumlah hasil berbanding tempoh yang sama tahun lepas.

"Tindakan Penguatkuasaan JKDM yang tegas akan berterusan, walaupun tohmahan dan fitnah dilemparkan oleh pihak-pihak yang tidak senang dengan prestasi rampasan yang telah meningkat bagi tahun 2024 berbanding tahun 2023,” katanya.

Di atas komitmen tersebut, Ribuan berkata, JKDM telah bekerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri untuk mengenal pasti dan membina profil pengimport kenderaan di Malaysia.

Beliau turut menyeru orang ramai untuk menyalurkan maklumat berkenaan aktiviti penyeledupan dengan menghubungi talian bebas tol JKDM di talian 1-800-88-8855 dan tidak khautir untuk berbuat demikian kerana indentiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan. - Bernama