Pengurusan tertinggi GISBH dan isteri antara 22 didakwa esok

Iklan
Razarudin Foto fail Bernama
KUALA LUMPUR - Pengurusan tertinggi GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan isteri antara 22 individu yang akan dituduh mengikut Seksyen 130V (1) Kanun Keseksaan kerana menjadi ahli kumpulan jenayah terancang, di Mahkamah Sesyen Selayang esok.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain berkata, pertuduhan itu dibuat selepas kertas siasatan dirujuk dan ditaklimatkan kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) petang tadi.

"Turut akan didakwa mengikut pertuduhan yang sama esok ialah anak kepada pengasas Al-Arqam, dan kesemua individu berkenaan akan dituduh di Mahkamah Sesyen Selayang esok pagi,” katanya ketika dihubungi Bernama di sini malam ini.

Pada 10 Oktober lepas, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zin memaklumkan pemimpin tertinggi GISBH itu antara 58 individu yang ditahan semula mengikut Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) 2012 (Sosma).

Selain itu, sebanyak 35 individu masih dalam tahanan reman, 273 orang dijamin, 37 individu dibebaskan tanpa syarat, dua orang diserahkan kepada pihak Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Kedah dan seorang lagi kepada Jabatan Imigresen untuk tujuan pengusiran.

Sejak Op Global fasa pertama bermula pada awal September, sejumlah 415 individu termasuk pengurusan tertinggi GISBH ditahan manakala 625 mangsa berusia dua bulan hingga 28 tahun berjaya diselamatkan oleh pihak polis. - Bernama