SHAH ALAM - Pendekatan gaji minimum, gaji progresif dan langkah mewajibkan caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) kepada semua tenaga kerja merupakan strategi secara tak langsung dalam mengurangkan bilangan pekerja asing di negara ini.
Pengarah Program MBA Putra Business School, Prof Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, syarat tersebut membolehkan syarikat mempertimbangkan langkah mendigital atau mengautomasi perniagaan dan menambah pekerja tempatan separa mahir sekali gus mengurangkan bilangan pekerja asing.
"Kalau peningkatan gaji ini akan menarik lebih ramai tenaga kerja tempatan, ia menyebabkan banyak majikan bergerak ke arah pendigitalan dan automasi untuk kurangkan pekerja asing bergaji rendah.
"Strategi ini saya lihat bukan setakat naik gaji, produktiviti meningkat tetapi sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) kena fikir mungkin tak perlu ambil pekerja asing untuk kendalikan pendigitalan dan automasi.
"Namun, kita nak tengok impaknya mungkin ambil masa bertahun-tahun juga," katanya.
Beliau berkata demikian menerusi Wacana Sinar edisi 462 bertajuk ‘Belanjawan 2025: Tercapaikah Siling, Terangkatkah Lantai?’ yang disiarkan di platform digital Sinar Harian secara langsung dari Studio F, Kompleks Kumpulan Karangkraf, di sini pada Selasa.
Program yang dihoskan oleh Ismail Adnan itu turut dibarisi panelis lain antaranya ahli Parlimen Tebrau, Jimmy Puah Wee Tse dan Naib Presiden Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (Fomca), Datuk Indrani Thuraisingham.
Ahmed Razman berpandangan, pengenalan gaji minimum atau gaji progresif perlu berpandukan demografi kerana setiap negeri amat berbeza dari segi tahap pendapatan, perbelanjaan dan kemajuan.
Tambah beliau, apabila melihat kepada pembentangan Belanjawan 2025 oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, gaji minimum sektor tertentu juga ditingkatkan melebihi RM2,000.
"Saya setuju kerana industri yang melibatkan perkilangan atau teknologi ini mereka memang mampu bayar gaji tinggi.
"Masalahnya sekarang ini mereka mengawal gaji yang ditawarkan kepada graduan kerana sekiranya pemohon terdesak nak kerja, mereka akan tawar gaji sama seperti 20 tahun lalu.
"Jadi, saya sebenarnya lebih suka kalau ada Akta Iklan Gaji. Jika syarikat swasta umumkan kekosongan, beritahu tangga gaji. Persaingan pun sihat, tawar gaji tinggi, dapat pekerja yang bagus," ujarnya.