SUKMA Sarawak 2024 sifar doping

Iklan
Azura

HASIL analisis lanjut terhadap 13 sampel yang diambil daripada atlet Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak didapati negatif pengambilan bahan terlarang, kata Ketua Pengarah Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN), Azura Abidin.

Beliau yang juga bekas Pengarah Agensi Anti-Doping Malaysia (ADAMAS) berkata, hasil analisis itu baru sahaja diperoleh minggu ini sekali gus menyaksikan temasya SUKMA kali ini bebas doping.

Iklan
Iklan

"Kita telah mengambil lebih daripada 300 sampel daripada atlet SUKMA dan sebelum ini kita ada maklumkan bahawa 13 sampel perlu dianalisis secara lebih mendalam melibatkan pelbagai jenis sukan. Alhamdulillah kita telah mendapat keputusan yang mana kesemua sampel tersebut adalah negatif.

"Saya berasa bangga (dengan keputusan tersebut) sebab memang hasrat ADAMAS adalah untuk memastikan penganjuran SUKMA kali ini bebas doping dan ia berjaya dicapai," katanya kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Makan Malam sempena Pembukaan Seminar Penyelidikan Sains Sosial Antidoping 2024 di George Town malam ini.

Iklan

Azura berkata, lebih 60 atlet Para SUKMA turut diuji namun hasil analisis sampel mereka belum diperoleh.

Sementara itu, beliau berkata, kerajaan memandang serius isu doping dalam kalangan atlet kerana ia bukan hanya menjejaskan imej mereka sendiri tetapi juga sukan dan negara.

Iklan

Katanya, pelbagai usaha telah diambil di peringkat ADAMAS dan Kementerian Belia dan Sukan untuk memastikan persekitaran sukan yang selamat dan bebas daripada penyalahgunaan bahan terlarang.

Sementara itu, Azura berkata, seminar berkenaan julung kali diadakan oleh ADAMAS dengan kerjasama Pusat Penyelidikan Dadah dan Ubat-Ubatan Universiti Sains Malaysia (USM) dihadiri lebih 50 wakil organisasi antidoping, ahli akademik dan penyelidik sains sosial dari rantau ASEAN dan Asia-Oceania.

Beliau berkata seminar dua hari itu bertujuan mengetengahkan hasil kajian berkaitan antidoping dan bidang sains sosial. - Bernama