KOTA BHARU - Seramai 1,600 keluarga masyarakat India dari seluruh negara menerima sumbangan daripada Yayasan Petronas bagi menceriakan perayaan Deepavali tahun ini.
Sumbangan dengan kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui Program Memacu Kehidupan Deepavali 2024 itu membabitkan 11 buah negeri dengan nilai keseluruhan sebanyak RM320,000.
Pengurus Besar Petronas Wilayah Pantai Timur Mohammad Ahmad Shazli Ramli berkata, program berkenaan bertujuan memberi fokus meningkatkan taraf hidup masyarakat yang kurang berkemampuan.
"Sumbangan makanan asas seperti beras basmathi, tepung, kacang dal dan hamper muruku dapat memberi lebih keceriaan sepanjang musim perayaan," katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Majlis Yayasan Petronas Memacu Kehidupan: Deepavali 2024 di sini pada Selasa.
Hadir sama, Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wilayah, Sumber Asli, Integriti, Pembangunan Insan Dan Undang-Undang Negeri Kelantan, Wan Rohimi Wan Daud.
Tambah Ahmad Shazli, seramai 50 keluarga dari tiga daerah di Kelantan mendapat manfaat berkenaan iaitu Kota Bharu, Tanah Merah dan Kuala Krai.
Sementara itu, penerima G Sharania, 28, gembira kerana sumbangan berkenaan dapat membantu mengurangkan beban keluarganya untuk menyambut Deepavali.
Sharania yang lumpuh bahagian kaki dan tangan kiri selepas menjalani pembedahan pada usia 11 tahun kini tinggal bersama ibu bapa yang banyak menyokong kehidupannya.
Anak kedua daripada tiga beradik yang mempunyai Ijazah Sarjana Muda Perniagaan dan Kewangan kini bekerja dalam bidang perniagaan secara dalam talian.
"Saya sedang membuat persiapan untuk menyambut Deepavali dibantu keluarga dan kami biasanya akan adakan rumah terbuka pada hari istimewa itu," katanya.