MERAK Jalanan tertarik dengan kisah bekas banduan dikenali sebagai Abah Hayat yang berusaha membina hidup baharu selepas 23 tahun dipenjarakan.
Lelaki berusia 64 tahun itu sebelum ini dijatuhi hukuman gantung sampai mati kerana didapati bersalah membunuh dan memotong mangsa kepada lapan bahagian.
Bagaimanapun, dia bernasib baik apabila mendapat pengampunan diraja daripada Sultan Kedah.
Hukuman gantung sampai mati yang dihadapinya bertukar kepada penjara sepanjang hayat sahaja.
Abah Hayat yang kini aktif di media sosial menyatakan hasrat mengusahakan perniagaan bagi membantu sahabat-sahabat yang telah bebas dari tembok batu itu.
Namun, di sebalik usaha murninya, ada perkara yang tidak sedap didengar apabila ada pihak yang mengkritik Abah Hayat seolah-olah bangga dengan gelaran sebagai bekas banduan.
Bagi pendapat Merak Jalanan, hukuman yang dikenakan kepada banduan bukanlah pengakhiran hidup, sebaliknya sebagai pengajaran atas kesalahan silam dilakukan.
Tidak dinafikan, walaupun hanya sehari meringkuk di penjara, gelaran bekas banduan akan kekal dibawa ke mana sahaja sehingga ke hujung nyawa.
Kesannya bukan hanya kepada pelaku, tetapi keluarga juga terpalit sama.
Tapi bukan bermakna bekas banduan kekal sebagai orang jahat.
Ramai yang keluar penjara insaf dengan perbuatan silam, mahu membuka buku baharu dan tidak mahu lagi kembali ke zaman hitam tersebut.
Justeru, kisah Abah Hayat ini wajar dijadikan inspirasi kepada bekas-bekas banduan yang sudah insaf untuk meneruskan kehidupan lebih baik.
Mereka juga manusia seperti kita, cuma nasib sahaja berbeza.
Merak Jalanan setuju dengan kata-kata seorang rakan, sekurang-kurangnya mereka sudah menerima hukuman atas kesalahan dilakukan.
Lebih baik daripada orang yang buat jahat secara diam tapi masih bebas ke sana sini.