1,000 wanita, kanak-kanak dipindah dari Gaza

Iklan
Wanita dan kanak-kanak Palestin di Gaza paling terkesan dalam perang genosid yang berlarutan selama setahun di wilayah itu.

COPENHAGEN - Kira-kira 1,000 wanita dan kanak-kanak yang memerlukan rawatan akan dipindahkan dari Genting Gaza ke blok Kesatuan Eropah (EU).

Pengumuman itu dibuat Ketua Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) cawangan Eropah, Hans Kluge pada Isnin ketika mengesahkan proses pemindahan untuk tujuan perubatan itu akan dilaksanakan dalam tempoh beberapa bulan akan datang.

Iklan
Iklan

Menurutnya, proses tersebut akan dikendalikan WHO dan negara Eropah yang terlibat.

Langkah itu dibuat setelah penyiasat PBB pada Khamis lalu mendedahkan rejim Zionis sengaja membedil kemudahan kesihatan di Gaza dan melakukan penyeksaan ke atas kakitangan perubatan yang jelas satu bentuk perbuatan jenayah kemanusiaan.

Iklan

Pada Mei lalu, Wakil Khas PBB di wilayah Palestin, Rik Peeperkorn berkata, kira-kira 10,000 penduduk Gaza memerlukan pemindahan segera untuk mendapatkan rawatan perubatan.

Sejak perang genosid ke atas Gaza tercetus pada 7 Oktober lalu, WHO di Eropah telah melakukan sebanyak 600 pemindahan perubatan dari Gaza ke tujuh negara di blok berkenaan.

Iklan

Kira-kira 10,000 penduduk Palestin di Gaza memerlukan pemindahan segera bagi mendapatkan rawatan perubatan.

"Usaha ini adalah mustahil jika kita tidak mengekalkan dialog terbuka. Situasi sama juga dihadapi Ukraine. Kami turut membuka peluang sama.

"Setakat ini seramai 15,000 pesakit AIDS di Donbas sudah diberikan bantuan perubatan,” tegasnya yang sekali lagi menggesa supaya pihak bertelagah tidak mempolitikkan isu kesihatan.

Tambahnya, ‘ubat’ yang paling penting adalah keamanan iaitu dengan cara kakitangan perubatan dibenarkan untuk menjalankan tanggungjawab mereka di zon konflik.

PERANG MUSIM SEJUK UKRAINE-RUSIA LEBIH SUKAR

Data WHO juga menunjukkan kira-kira 2,000 serangan ke atas kemudahan kesihatan di Ukraine telah direkodkan sejak kempen pencerobohan dilancarkan Rusia pada Februari 2022.

"Kami akan terus mengecam keganasan seperti ini,” ujar Kluge yang ketika ini menzahirkan kebimbangan menjelang perang musim sejuk ketiga Ukraine-Rusia.

Jelasnya, kira-kira 80 peratus grid kuasa telah binasa atau separa musnah.

"Pakar bedah terpaksa melakukan pembedahan dengan memakai lampu pada kepala mereka kerana terputus bekalan elektrik. Musim sejuk kali ini dijangka lebih sukar,” katanya.

Meskipun terdapat tekanan dalam sistem penjagaan kesihatan di Eropah, sebanyak 53 negara di rantau berkenaan termasuk Asia Tengah telah bersatu untuk menghadapi pandemik baharu pada masa akan datang.

Kemudahan kesihatan di Ukraine tidak terkecuali menjadi sasaran bedilan di tengah-tengah konflik Kiev-Moscow yang terus meningkat.

"Kami sudah membuat persediaan awal. Apa yang kita perlukan adalah perjanjian pandemik global. Sebarang perkongsian antara negara tidak akan dapat menghalang kemasukan virus ke benua kita,” menurutnya.

Difahamkan, strategi Eropah untuk pandemik bakal dibentangkan pada 31 Oktober ini dan pada masa sama WHO menggesa negara anggota mereka supaya bersiap siaga dengan ancaman krisis kesihatan seterusnya.

"Ia perlu melibatkan kesinambungan perkhidmatan kesihatan asas yang penting untuk mengelakkan ‘kepincangan’ seperti berlaku ketika pandemik Covid-19. Sebanyak 25 daripada 53 negara berdepan peristiwa kecemasan kesihatan yang menguji keselamatan negara,” tambahnya lagi.

Selain penyakit berjangkit, Kluge juga menyuarakan kebimbangan terhadap krisis kesihatan golongan muda dan peningkatan ketidaksamaan antara lelaki serta wanita.

"Kita mempunyai data yang jelas tentang isu ini. Kira-kira 26 peratus wanita berusia antara 15 dan 49 tahun berdepan keganasan termasuk serangan seksual,” ujarnya yang dijangka dilantik semula pada akhir bulan ini setelah memegang jawatan itu sejak Februari 2020. - AFP