Guru dipenjara hanya kerana tegur anak polis

Iklan
Supriyani menafikan dia mengasari murid tersebut. Foto Agensi

KONAWE SELATAN - Gara-gara 'mendisiplinkan' anak polis, seorang guru tidak tetap telah ditahan pihak berkuasa hingga mengundang bantahan banyak pihak.

Insiden itu menimpa Supriyani, 37, yang berkhidmat di Sekolah Dasar Negeri (SDN) 4 di Baito, Kabupaten Konawe Selatan, Sulawesi Tenggara setelah ibu bapa murid berkenaan bertindak membuat laporan kepada polis.

Iklan
Iklan

Kandungan aduan itu menyebut, guru berkenaan telah mengasari D, 6, yang merupakan anak seorang anggota polis ketika kejadian pada April lalu.

Ia berpunca setelah murid berkenaan mengadu kepada ibu bapanya bahawa kesan luka pada bahagian belakang pahanya kerana dipukul Supriyani dengan menggunakan penyapu.

Iklan

Siasatan awal mendapati D pada mulanya memberitahu luka itu akibat jatuh kerana bermain di sawah.

"Tetapi, kenyataan itu berubah apabila disoal semula oleh bapanya," ujar jurucakap polis, Febry Syam pada Isnin.

Iklan

Kes kontroversi itu turut menjadi topik perbincangan hangat para guru dan warganet hingga mencetuskan kempen 'Save Ibu Supriyani'.

Difahamkan, pihak sekolah turut mengesahkan murid tersebut tidak dipukul seperti didakwa, namun tidak diterima ibu bapanya.

"Wakil sekolah itu turut meminta maaf kepada mereka. Tetapi, permohonan maaf itu dianggap pula sebagai pengakuan salah untuk dilaporkan kepada pihak berkuasa berserta bahan bukti," ujar jurucakap SD berkenaan.

Menurutnya, ibu bapa murid itu juga tergamak meminta 'wang damai' berjumlah 50 juta rupiah (RM15,000) dan mengarahkannya berhenti mengajar, namun Supriyani enggan membayar kerana dia hanya menegur anak mereka selain kurang berkemampuan.

Ketika ditemui media pada Selasa, Supriyani menangis dalam gembira setelah mahkamah bersetuju menangguhkan penahanannya setelah dia dipenjarakan sejak 16 Oktober lalu.

Dia yang sudah berkhidmat sebagai guru tidak tetap selama 16 tahun bakal tampil untuk perbicaraan pertama kes itu pada Khamis. - Agensi