Tempuh perjalanan 200 km 'COD' limau bali ke rumah pelanggan

Iklan
Mohd Sanusi menunjukkan antara buah limau bali yang akan dihantar kepada pelanggan.

SETIU - Bekas jurujual memanfaatkan pengalaman yang ada dengan menyediakan perkhidmatan penghantaran limau bali di sekitar daerah di Terengganu dan Kelantan.

Mohd Sanusi Ibrahim, 39, berkata, dia mula menyediakan perkhidmatan bayaran tunai semasa penghantaran (COD) itu selepas berhenti kerja sejak 2019.

Iklan
Iklan

Menurutnya, tempahan diterima amat menggalakkan selepas dia menumpukan kerja sebagai penghantar buah tersebut.

"Saya dapati permintaan terhadap buah limau bali ini amat tinggi lebih-lebih lagi sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

Iklan

"Biasanya buah limau bali ini dijual di gerai-gerai sepanjang jalan, jadi apabila saya membuat khidmat COD banyak tempahan saya terima antaranya di Marang, Setiu, Besut dan daripada pelanggan dari Kelantan," katanya ketika ditemui pemberita di Bandar Permaisuri di sini.

Mohd Sanusi yang berhenti kerja sebagai jurujual di ibu kota dan menetap di daerah Kuala Nerus berkata, setiap hari dia menunggang motosikal Yamaha Nouvo LC dari rumahnya untuk ke rumah pelanggan.

Iklan

Menurut bapa kepada dua anak itu, dia memilih untuk menaiki motosikal bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan jalan raya.

"Saya mengambil tempahan dua atau tiga hari sebelum COD dan harga ditawarkan pula adalah RM10 bagi satu kilogram limau bali, yang mana harga sebiji buah adalah bergantung kepada berat buah tersebut.

"Biasanya saya ambil tempahan kira-kira 40 biji buah bali dengan mengenakan bayaran penghantaran serendah RM0.50 hingga RM10 mengikut jarak perjalanan," katanya.

Jelas Mohd Sanusi, walaupun persekitaran pekerjaan sekarang tidak lagi sama seperti dulu, dia masih mampu menjana pendapatan hampir RM400 setiap kali melakukan COD.

"Kebanyakan bekalan limau bali saya peroleh dari negara jiran iaitu Thailand dan juga dari Ipoh serta Kuala Kurau, Perak.

"Selain limau bali, saya turut membuat penghantaran pelbagai jenis keropok di negeri lain berdasarkan permintaan pelanggan," ujarnya.