MOM akur sukan prospek pingat digugurkan di Glasgow 2026

Iklan
Nazifuddin

MAJLIS Olimpik Malaysia (MOM) akur keputusan Glasgow untuk menggugurkan beberapa sukan prospek pingat seperti badminton, terjun, hoki dan skuasy pada Sukan Komanwel 2026 dalam usaha mengurangkan kos penganjuran temasya itu.

Setiausaha Agung MOM, Datuk Mohd Nazifuddin Najib berkata, langkah yang dibuat tuan rumah itu tidak dapat dielakkan selepas Victoria, Australia menarik diri tahun lalu.

Iklan
Iklan

"Fokus utama adalah untuk memilih sukan yang boleh diadakan pada kualiti tertinggi dengan kewangan yang mampan. Untuk bergerak ke hadapan, terdapat keperluan mengutamakan perkara terpenting demi atlet dan sukan.

"MOM menerima hakikat bahawa Glasgow 2026 akan menjadi lebih kecil dan efisien berbanding temasya sebelum ini, walaupun terpaksa mengorbankan sukan-sukan yang kita kuat seperti terjun, badminton, hoki dan skuasy," katanya pada Selasa.

Iklan

Jelas Nazifuddin, edisi 2026 juga merupakan model yang benar-benar kolaboratif, fleksibel dan mampan ke arah masa depan yang meminimumkan kos, mengurangkan kesan alam sekitar dan meningkatkan impak sosial.

"Dengan cara ini, ia akan meluaskan peluang bagi lebih banyak negara yang mampu untuk menjadi tuan rumah. Temasya 2026 akan memberikan peluang terbaik bagi menggariskan pelan tindakan baharu untuk masa depan Sukan Komanwel yang mampan dan boleh diakses dan sudah dijangka bahawa versi lebih kecil ini terpaksa mengorbankan kekuatan kita.

Iklan

"MOM akan membincangkan strategi yang diperlukan untuk menghadapi isu-isu ini dengan pihak berkepentingan termasuk Majlis Sukan Negara (MSN), Institut Sukan Negara (ISN) dan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK)," ujarnya.

INFO

Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) mengesahkan Glasgow sebagai tuan rumah Sukan Komanwel 2026 yang akan berlangsung dari 23 Julai hingga 2 Ogos, iaitu penganjuran kali kedua bandar itu selepas 2014.

Glasgow menawarkan diri selepas Malaysia enggan menerima tawaran itu bagi menggantikan Victoria yang sepatutnya menjadi tuan rumah namun menarik diri pada Julai tahun lepas ekoran peningkatan kos penganjuran.

Pada edisi kali ini, hanya 10 sukan bakal dipertandingkan di empat venue sekitar radius 12.8 kilometer (km) berbanding 19 sukan pada Sukan Komanwel 2022 di Birmingham, England, dengan kira-kira 3,000 atlet dari 74 negara dan wilayah Komanwel dijangka mengambil bahagian.

Sukan disenaraikan ialah olahraga dan olahraga para, renang dan renang para, gimnastik artistik, berbasikal trek dan berbasikal trek para, bola jaring, angkat berat dan powerlifting, tinju, judo, boling dan boling para, bola keranjang 3x3 dan bola keranjang kerusi roda 3x3.

Terjun, memanah, badminton, kriket T20, hoki, mendayung, ragbi tujuh sepasukan dan skuasy antara sukan yang tidak akan dipertandingkan pada edisi kali ini.