Jawi salah satu cabang ilmu, seni, bebas dipelajari sesiapa sahaja

Iklan
Laporan Sinar Harian (kiri) dan Mohd Arifin

KOTA KINABALU - Tulisan jawi merupakan salah satu daripada cabang ilmu pengetahuan dan juga seni untuk dipelajari semua masyarakat termasuk guru bukan Islam.

Exco Pendidikan Sabah, Datuk Mohd Arifin Mohd Arif berkata, ini membuktikan bahawa tulisan Jawi bukan milik sesiapa atau agama mana pun kerana ia bebas dipelajari oleh semua lapisan masyarakat.

Iklan
Iklan

"Jadi kita bangga dengan usaha guru tersebut yang mengajar dan ini membuktikan jawi bukan milik mana-mana orang, mana-mana agama, malah kalau dulu tahun 1970-an saya sempat melihat kedai-kedai kopi ada tulisan jawi.

"Saya berharap tulisan jawi akan terus berkembang dan kita mengalu-alukan kerana ini salah satu cabang ilmu pengetahuan dan cabang seni," katanya.

Iklan

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas mengenai seorang guru bukan Islam di negeri ini yang tular di media sosial kerana kemahiran menulis dan seterusnya mengajar tulisan jawi kepada muridnya.

Mohd Arifin yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah berkata, usaha mengembangkan dan memastikan tulisan jawi relevan turut dilakukan di negeri ini.

Iklan

"Kita pun di Sabah ini mengembangkan tulisan ini yang disebut sebagai kaligrafi. Kaligrafi ini khat dan ini kita kembangkan melalui program perkampungan khat sedunia di Membakut.

"Dalam program ini, kita jemput pakar-pakar khat tetapi dalam tulisan jawi juga satu seni dan ilmu yang boleh dipelajari oleh semua orang," katanya.

Sinar Harian sebelum ini melaporkan video Lorenica Frenila Masundim, 34, yang juga guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan (SK) Bawang K9, Beluran, meraih pujian warganet dengan kemahirannnya mengajar tulisan jawi walaupun beliau bukan beragama Islam.

Lorenica mempelajari tulisan jawi ketika menuntut di Institut Pendidikan Guru Kampus Gaya Kota Kinabalu pada 2010 menggunakan kemahirannya untuk mengajar anak muridnya di Tahun Lima dan Enam di sekolah tersebut.

Video berdurasi 12 saat yang dikongsikannya sendiri melalui akaun Facebook Loren Fren memaparkan rutinnya ketika mengajar tulisan jawi di sekolah.

Video tersebut bukan saja tular malah mendapat komen positif daripada warganet selain turut mendapat perhatian daripada bekas Menteri Pendidikan, Dr Maszlee Malik menerusi komen yang ditinggalkannya.